Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Tabung Haji wajib dibaca dengan jujur. Jika benar berlaku kelemahan tadbir urus, kegagalan merekodkan kerugian, penggunaan kaedah perakaunan yang tidak konsisten atau pengisytiharan hibah yang bercanggah dengan Akta Tabung Haji 1995, pihak yang membuat, memperakukan dan meluluskan keputusan itu mesti disiasat serta dipertanggungjawabkan.
Namun, menerima dapatan RCI tidak bermakna masyarakat wajib menerima satu kesimpulan yang lebih besar, bahawa jutaan pendeposit telah menerima “wang haram”.
Di sinilah kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, perlu diperbetulkan. Beliau dilaporkan mengaitkan pelanggaran undang-undang dan pengiraan kewangan yang tidak betul dengan hukum haram, sebelum mempersoalkan maruah umat Islam yang gembira menerima hibah tinggi.
Kenyataan keras tidak semestinya tepat dari sudut hukum.
RCI boleh menentukan bahawa berlaku ketidakpatuhan undang-undang, kelemahan perakaunan atau kegagalan tadbir urus. Namun laporan RCI bukan dengan sendirinya suatu fatwa bahawa setiap ringgit hibah yang dikreditkan ke dalam akaun pendeposit menjadi harta haram.
Tiga persoalan yang mesti dipisahkan
Pertama, adakah berlaku perbuatan haram pada peringkat pengurusan? Jika ada pihak menyembunyikan kerugian, memanipulasi angka, menyalahgunakan kuasa atau mengkhianati amanah, perbuatan itu wajib disiasat dan dihukum.
Kedua, apakah sumber sebenar wang yang diagihkan? Adakah ia wang curi daripada pemilik tertentu, hasil riba, wang rasuah atau dana institusi yang mempunyai aset, pendapatan, rizab dan pelaburan yang pelbagai?
Ketiga, apakah hukum terhadap pendeposit yang menerima agihan itu melalui sistem rasmi tanpa mengetahui atau terlibat dalam keputusan pengurusan?
Tiga persoalan ini tidak boleh dicampur menjadi satu 'fake fakwa', “Langgar undang-undang, maka semua wang menjadi haram.”
Pelanggaran undang-undang oleh pembuat keputusan boleh menjadikan perbuatan mereka salah dan berdosa tetapi ia tidak semestinya memindahkan hukum yang sama kepada pihak ketiga yang menerima pembayaran secara rasmi tanpa pengetahuan, niat atau penglibatan.
Pendeposit bukan pembuat keputusan
Seksyen 22 Akta Tabung Haji meletakkan keputusan pengisytiharan dan pembahagian keuntungan pada TH, Lembaga serta pihak berkuasa yang meluluskan. Pendeposit tidak menentukan kaedah penilaian aset, kadar rosot nilai, bentuk perakaunan atau jumlah hibah.
Mereka tidak menyediakan penyata kewangan. Mereka tidak menandatangani resolusi Lembaga. Mereka juga tidak hadir dalam mesyuarat yang meluluskan agihan.
Hibah dikreditkan terus melalui keputusan sebuah institusi yang mempunyai kuasa undang-undang. Jika proses itu cacat, tanggungjawab pertama terletak pada pihak yang mengetahui, menyediakan, memperakukan dan meluluskannya, bukan pada pendeposit biasa.
Nas tidak membenarkan dosa dipindahkan
Islam sangat tegas mengenai amanah. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisa’, ayat 58 supaya amanah diserahkan kepada yang berhak dan setiap penghakiman dibuat dengan adil. Surah al-Baqarah, ayat 188 pula melarang manusia memakan harta sesama mereka melalui jalan yang batil.
Nas tersebut wajib dikenakan kepada sesiapa yang menipu, mengambil hak orang lain atau menyalahgunakan kuasa.
Namun Allah SWT juga berfirman dalam Surah al-An‘am, ayat 164:
“Dan seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.”
Jika kesalahan dilakukan oleh pengurusan, dosa itu tidak boleh dipindahkan secara pukal kepada jutaan pendeposit yang tidak mengetahui, tidak merancang dan tidak meredai perbuatan tersebut.
Dalam muamalat, hukum terhadap penerima tidak semestinya sama dengan hukum terhadap pelaku asal. Seseorang yang menerima bayaran, hadiah atau agihan melalui urusan yang sah pada zahirnya tidak serta-merta menjadi pelaku dosa hanya kerana pihak sebelumnya melakukan kesalahan yang tidak diketahuinya.
Jika wang itu ialah barang curi yang dikenal pasti pemiliknya, hukumnya berbeza dan wajib dikembalikan. Namun hibah TH melibatkan dana institusi yang kompleks. Menentukan status syariahnya memerlukan penelitian khusus oleh pihak berautoriti, bukan satu ayat politik yang menghukum semua penerima serentak.
Siapa sebenarnya yang dipersoalkan maruahnya?
Adakah pesara yang menyimpan sedikit demi sedikit mengetahui kaedah perakaunan TH?
Adakah ibu tunggal yang menerima hibah beberapa puluh ringgit pernah melihat kertas mesyuarat Lembaga?
Adakah bakal jemaah haji mempunyai kuasa menolak kemasukan hibah automatik ke dalam akaunnya?
Jika jawapannya tidak, mengapa maruah mereka pula dipersoalkan?
Mereka bukan pengarah, juruaudit, pegawai kanan atau menteri. Jangan kerana mahu menghukum pengurusan, pendeposit yang tidak mengetahui apa-apa pula dijadikan pesalah agama.
Berhati-hati menggunakan hukum haram.
Allah SWT mengingatkan dalam Surah al-Nahl, ayat 116 supaya manusia tidak sewenang-wenangnya menyebut sesuatu sebagai halal atau haram lalu menisbahkannya kepada Allah.
Rasulullah SAW pula menjelaskan bahawa perkara halal itu jelas, perkara haram itu jelas dan antara kedua-duanya terdapat perkara syubhah yang tidak diketahui oleh ramai manusia.
Hadis ini mengajar umat supaya berhati-hati dalam persoalan hukum, bukan memperluas label haram sehingga merangkumi pihak yang tidak mengetahui dan tidak terlibat.
Mujahid perlu menjelaskan adakah beliau bermaksud perbuatan pengurusan itu haram, atau beliau benar-benar memfatwakan bahawa setiap pendeposit telah menerima harta haram?
Kedua-duanya bukan perkara yang sama.
Hukum pelaku, lindungi pendeposit
Jika bonus dibayar tanpa kelulusan, kutip semula. Jika laporan kewangan dimanipulasi, ambil tindakan terhadap mereka yang menyediakannya. Jika berlaku pecah amanah, dakwa pelakunya. Jika dana pendeposit terjejas, tentukan siapa yang wajib memulihkannya.
Namun jangan jadikan perkataan “haram” sebagai tukul politik untuk menghentam semua orang.
RCI mesti menjadi asas reformasi, siasatan dan pemulihan Tabung Haji. Amanah umat Islam tidak boleh dipermainkan. Namun reformasi tidak memerlukan penghinaan terhadap pendeposit.
Salah urus wajib dihukum. Penipuan wajib disiasat. Wang yang diambil tanpa hak wajib dipulangkan tetapi dosa pengurusan tidak boleh dipindahkan kepada rakyat biasa, dan laporan RCI bukan lesen untuk mengharamkan hibah jutaan pendeposit.
Tags
Politik


