Apa yang berlaku sepanjang seminggu kebelakangan ini dalam kemelut adat dan perlembagaan Negeri Sembilan nampak seperti Anwar hilang akal.
Adakah isu Negeri Sembilan benar-benar menjadi keutamaan Anwar Ibrahim atau polemik itu sedang diperbesarkan sehingga perhatian rakyat beralih daripada beberapa perkembangan lain yang jauh lebih besar dari sudut politik, korporat dan wang rakyat?
Nada Anwar sendiri berubah dengan begitu pantas. Pada 18 September, beliau mengingatkan kerajaan Negeri Sembilan dan Menteri Besar Datuk Ismail Lasim supaya tidak tunduk kepada tekanan politik serta menegaskan bahawa apa-apa tindakan mengenai kedudukan Raja mesti berlandaskan Perlembagaan dan undang-undang.
Dua hari kemudian, beliau sekali lagi menegaskan sistem beraja tidak boleh “ditukar ikut bulan”. Pada 23 September pula, Anwar secara terbuka menyifatkan tindakan Menteri Besar dan barisan EXCO sebagai “biadab” dan “tidak bertamadun”, sambil mempersoalkan sejak bila mereka mempunyai mandat untuk mempertikaikan kedudukan Raja.
Masalahnya, polemik Negeri Sembilan bukan semudah Menteri Besar dan EXCO bangun lalu membuat keputusan sendiri untuk menurunkan Yang di-Pertuan Besar.
Undang Yang Empat bersama Tunku Besar Tampin pada 22 September secara terbuka menegaskan bahawa Menteri Besar dan EXCO tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.
Pendirian mereka ialah keputusan mengenai takhta datang daripada prerogatif Undang Yang Empat yang mereka sandarkan kepada Perkara 7, 10 dan 11 UUTKNS 1959, manakala kerajaan negeri sekadar melaksanakan proses yang mereka anggap sebagai tanggungjawab perlembagaan. Tafsiran itu masih dipertikaikan oleh pihak lain, namun kewujudan pertikaian tersebut menunjukkan isu ini jauh lebih kompleks daripada gambaran bahawa Ismail Lasim dan EXCO sendiri “menjatuhkan Raja”.
Di sinilah timbul persoalan mengenai ‘cara’ Anwar mengalih isu. Mengapa kemelut yang sebenarnya berkisar tentang tafsiran UUTKNS, kedudukan Undang Yang Empat, Dewan Keadilan dan Undang serta institusi Raja tiba-tiba menjadi serangan begitu keras terhadap Menteri Besar dan EXCO? Adakah ini semata-mata pendirian terhadap institusi Raja atau ada isu lain yang lebih besar sedang berlaku serentak dan memerlukan perhatian rakyat dialihkan?
Persoalan pertama membawa kita kepada DAP. Selepas keputusan pengampunan bersyarat Datuk Seri Najib Razak, Anthony Loke mengumumkan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan. Namun keputusan DAP bukan untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Loke sendiri menjelaskan peletakan jawatan hanya melibatkan dirinya, manakala menteri dan timbalan menteri DAP yang lain kekal dalam kerajaan atas alasan menjaga kestabilan politik. Setakat 23 September, Loke masih menegaskan beliau akan menyerahkan surat peletakan jawatannya selepas pulang dari China.
Peliknya, mengapa hanya seorang menteri mahu berundur sedangkan seluruh parti memilih untuk terus berada dalam kerajaan?
Alasan 'demi kestabilan' tidak boleh diterima. Namun sumber yang membangkitkan naratif ini melihat satu lagi dimensi yang tidak boleh diabaikan begitu sahaja iaitu kepentingan projek berskala besar yang sedang bergerak di bawah kerajaan semasa.
Di manakah wang besar itu?
Pulau Pinang.
LRT Laluan Mutiara.
Kata sumber, DAP dan Farhash terkait?
Kata sumber, DAP dan Farhash terkait?
Pada 6 Ogos 2026, MRT Corp mengumumkan kontrak Sistem Turnkey bernilai RM3.028 bilion bagi LRT Laluan Mutiara dianugerahkan kepada usaha sama MRCB-Theta Edge. Struktur usaha sama itu ialah 90 peratus MRCB dan 10 peratus Theta Edge.
Skopnya merangkumi sistem tren, isyarat, kawalan tren, bekalan kuasa, telekomunikasi, teknologi maklumat dan sistem tiket. Ini bukan projek kecil. Ia merupakan antara pakej sistem rel terbesar dalam projek LRT Pulau Pinang.
Di sinilah nama Theta Edge menjadi sebutan.
Ringkasnya, pada 2 Januari 2026, Lembaga Tabung Haji melupuskan keseluruhan 27.28 peratus pegangannya dalam Theta Edge, melibatkan 32.18 juta saham, kepada Stealth Solutions Sdn Bhd. Nilai transaksi itu dilaporkan sekitar RM28.96 juta atau 90 sen sesaham. Selepas pelupusan tersebut, Stealth Solutions muncul sebagai pemegang saham terbesar Theta Edge.
Namun cerita Theta Edge tidak bermula pada Januari 2026.
Pada Mac 2024, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, bekas setiausaha politik Anwar, sendiri mengesahkan bahawa beliau bersama seorang rakan perniagaan telah memperoleh 4.97 peratus kepentingan dalam Theta Edge. Ketika itu Farhash mempertahankan langkah tersebut sebagai sebahagian daripada strategi pelaburannya dalam syarikat teknologi Bumiputera.
Fakta ini penting kerana ia menunjukkan Farhash memang pernah mempunyai hubungan korporat secara langsung dengan Theta Edge.
Walaupun rekod yang tersedia tidak membuktikan bahawa Farhash membeli blok 27.28 peratus milik Tabung Haji pada 2026. Namun pembeli yang direkodkan ialah Stealth Solutions.
Justeru, walau bukan “Farhash membeli saham Tabung Haji” tetapi terdapat rangkaian hubungan korporat yang menimbulkan persoalan apabila Theta Edge kemudiannya berada dalam usaha sama yang menerima kontrak LRT RM3.028 bilion.
Rangkaian itu menjadi semakin menarik apabila nama Datuk Mohd Aminudin Mustapha atau “Amin Botak” turut muncul. Laporan tertentu mengaitkan Aminudin dengan Farhash melalui struktur korporat yang pernah terlibat dalam isu penerokaan mineral di Sabah. Nama mereka dilaporkan pernah muncul dalam rangkaian syarikat berkaitan Bumi Suria dan Borneo Bumi.
Inilah titik yang menjadikan persoalan tersebut lebih besar daripada sekadar satu kontrak.
Tabung Haji keluar daripada Theta Edge. Stealth Solutions mengambil alih blok saham itu. Farhash pula memang pernah mempunyai kepentingan dalam Theta Edge dua tahun sebelumnya. Tidak lama kemudian, MRCB-Theta Edge JV memperoleh kontrak sistem LRT bernilai RM3.028 bilion.
Dan Anwar beberapa kali tidak menjawab apabila media mengajukan soalan tentang kaitan bekas Setiausaha Politik beliau bukan sahaja terkait dengan projek mega LRT di Pulau Pinang tetapi dalam masa yang singkat menjadi antara individu terkaya di Malaysia.
Tambah sumber, inilah antara sebab DAP tidak berani keluar dari Kerajaan Perpaduan Malaysia, kerana dikatakan wujud proksi DAP yang berkepentingan di dalam projek mega tersebut?
Apa yang penting ialah apabila projek bernilai berbilion ringgit, kepentingan korporat dan rangkaian individu yang dekat dengan pusat kuasa berada dalam garis masa yang sama, rakyat berhak bertanya lebih daripada sekadar menerima jawapan rasmi.
Dan betulkah Amin Botak juga dikatakan rakan telefon Anwar?

