Rakyat melihat tingkah Anwar dalam kemelut krisis Negeri Sembilan bukan menjurus ke arah penyelesaian. Sebaliknya, tindakan beliau melalui siri kenyataan yang dikeluarkan sejak krisis itu tercetus tidak mencerminkan pendekatan seorang Perdana Menteri yang bijaksana dalam usaha meredakan keadaan.
Apakah sebenarnya yang dilakukan Anwar untuk menjernihkan keadaan dan membantu memulihkan krisis yang menyentuh Adat Perpatih ini?
Sebahagian rakyat lebih cenderung membuat kesimpulan bahawa pendekatan Anwar tidak jauh berbeza daripada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun. Kenyataan yang dikeluarkan dilihat berbaur memihak dan lebih menjurus kepada kepentingan politik.
Malah, terdapat pandangan bahawa tindakan Anwar seolah-olah menggambarkan rasa tidak puas hati terhadap UMNO dan Barisan Nasional susulan kekalahan Pakatan Harapan, khususnya partinya sendiri, dalam beberapa siri pilihan raya bermula di Sabah, Johor dan yang terkini Negeri Sembilan.
Namun terdapat juga kelompok yang menilai bahawa tindakan Anwar dalam isu Negeri Sembilan serta beberapa isu nasional lain bukan berlaku kerana beliau tidak memahami keadaan sebenar. Sebaliknya, mereka melihat kemungkinan wujud usaha untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu lain yang sedang menghimpit pentadbirannya.
Anwar mempunyai satu isu peribadi yang masih jauh daripada selesai dan perkara itu terus menjadi perhatian.
Menurut pengamatan sebahagian pemerhati politik negara, Anwar kini berhadapan dengan satu isu yang bukan mudah untuk dipulihkan dari sudut persepsi rakyat iaitu isu serangan seksual terhadap pekerjanya sendiri, Yusoff Rawther.
Hampir lapan tahun selepas satu kejadian yang didakwa berlaku di sebuah kediaman di Segambut pada 2 Oktober 2018, pertikaian undang-undang antara Yusoff Rawther dan Anwar Ibrahim masih belum sampai kepada satu perbicaraan penuh yang menentukan merit dakwaan tersebut.
Menurut pemerhati politik, isu ini bukan sahaja sukar dipadamkan, malah jauh sekali mudah untuk menutup mulut rakyat daripada terus menjadikannya bahan perbualan. Dari warung kopi, lobi hotel, serambi universiti hinggalah ke lobi Parlimen, persoalan yang sama terus dibangkitkan.
“Kenapa kes ini terlalu perlahan sedangkan negara sudah menghampiri satu lagi penggal baharu dan Pilihan Raya Umum ke-16 semakin dekat?”
Rata-rata mereka yang sentiasa mengikuti perkembangan kes ini membuat rumusan bahawa Anwar dilihat “tidak berani” berdepan dengannya. Persoalan yang sering dibangkitkan ialah bagaimana satu saman yang difailkan pada 2021 masih berdepan pertikaian prosedur sehingga 2026.
Kejadian yang didakwa berlaku pada 2 Oktober 2018 itu dikatakan berlaku di kediaman Anwar di Segambut. Yusoff mendakwa beliau pergi ke kediaman tersebut selepas diminta menghantar teks ucapan kepada Anwar.
Keadaan menjadi lebih memeritkan buat Anwar apabila pada 14 Julai 2021, Yusoff memfailkan saman sivil terhadapnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Antara tuntutan yang dikemukakan ialah ganti rugi.
Inilah antara pandangan yang diberikan oleh mereka yang memerhati dan mengikuti dengan rapat tindak-tanduk Anwar. Pada pandangan mereka, Anwar dilihat cuba sedaya upaya menjadikan sesuatu isu panas sebagai bahan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu yang berkait secara langsung dengan dirinya.
Dalam masa yang sama, “
cerita Farhash” juga dilihat sebagai satu lagi isu yang amat sukar untuk dipadamkan, khususnya apabila persoalan mengenai hubungan antara Anwar dan Farhash terus dikaitkan dalam wacana politik semasa.
Tidak masuk akal jika Anwar tidak mengetahui bahawa Adat Perpatih di Negeri Sembilan tidak pernah berkisar tentang “seorang raja” semata-mata. Struktur pemerintahan negeri itu berdiri atas konsep “Co-Ruler”, yang meletakkan Undang Nan Empat dalam kedudukan yang setaraf dengan Yam Tuan Besar.
Sebab itu, apabila kemelut Negeri Sembilan cuba dilihat hanya melalui kedudukan seorang Raja, gambaran yang terhasil menjadi terlalu sempit dan tidak mencerminkan keseluruhan kerangka Adat Perpatih yang menjadi asas kepada sistem pemerintahan negeri tersebut.
Akhirnya, persoalan yang tinggal bukan lagi sama ada Anwar memahami struktur Adat Perpatih Negeri Sembilan atau tidak. Persoalan yang lebih besar ialah mengapa beliau memilih untuk tampil begitu keras, begitu kerap dan begitu terbuka dalam satu kemelut yang sepatutnya ditangani dengan penuh cermat, sedangkan beberapa isu yang menyentuh dirinya sendiri masih belum benar-benar reda.
Kes Yusoff Rawther masih belum berakhir. Persoalan mengenai Farhash pula terus menjadi bualan rakyat pelbagai peringkat dan kaum. Kedua-duanya membawa satu beban persepsi yang sukar dipadam hanya dengan membawa kisah kononnya beliau berjaya membawa 'potensi pelaburan' ke dalam negara.
Sebab itu, apabila isu Negeri Sembilan terus dipanaskan, akan sentiasa ada rakyat yang bertanya sama ada kemelut ini benar-benar sedang cuba diselesaikan, atau sekadar sedang dijadikan pentas baharu supaya perhatian tidak terlalu lama tertumpu kepada persoalan yang lebih dekat dengan Anwar sendiri.
Anwar boleh mengubah arah perbualan. Anwar boleh menentukan isu mana yang mahu diberi pentas. Namun beliau tidak boleh menentukan persoalan apa yang rakyat mahu terus tanyakan.
Yusoff Rawther belum selesai. Farhash belum hilang daripada radar dan selagi kedua-dua persoalan itu belum terjawab dengan meyakinkan, setiap isu besar yang cuba dinaikkan akan terus mengundang satu persoalan yang sama.
Adakah ini benar-benar tentang Negeri Sembilan, atau tentang usaha mengalihkan pandangan rakyat daripada Anwar sendiri?