Malaysia Hot

Kerja Sudah Siap, Bayarlah Hak Mereka


Lebih RM1 juta mungkin kelihatan kecil dalam helaian peruntukan kerajaan, namun jumlah itu boleh menentukan hidup atau matinya puluhan perniagaan Bumiputera.

Di tapak projek, kerja telah disiapkan. Bahan binaan sudah digunakan, jentera telah disewa dan upah pekerja perlu dilunaskan. Di dalam akaun kontraktor pula, bayaran yang dijanjikan masih belum diterima.

Inilah tekanan sebenar yang sedang menghimpit kontraktor kecil Bumiputera apabila tunggakan bayaran bagi projek di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dianggarkan melebihi RM1 juta.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF), Tukiman Radion berkata, kelewatan tersebut memberikan kesan besar kepada kontraktor yang telah mendahulukan modal sendiri untuk melaksanakan projek kerajaan.

Setiap projek memerlukan kontraktor membeli bahan binaan, menanggung kos operasi, menyewa jentera, membayar pekerja dan memenuhi tuntutan pembekal. Semua komitmen itu berjalan mengikut jadual, walaupun bayaran daripada kerajaan masih tertangguh.

Menurut Tukiman, projek telah dilaksanakan tetapi bayaran masih belum dibuat oleh KKDW. Bajet bagi projek berkenaan juga dikatakan sudah dikeluarkan, sedangkan kontraktor masih menunggu wang yang menjadi hak mereka selepas menyelesaikan kerja.

Kelewatan tersebut menukar sebuah projek kerajaan daripada peluang perniagaan kepada perangkap hutang. Kontraktor telah menunaikan tanggungjawab, tetapi mereka pula yang terpaksa menanggung kerugian serta tekanan kewangan akibat bayaran yang tidak diterima.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican sebelum ini menjelaskan bahawa kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor berlaku kerana peruntukan tahun semasa telah dibelanjakan hampir sepenuhnya oleh KKDW.

Penjelasan itu sekali gus dikatakan menoktahkan dakwaan bahawa berlaku sekatan peruntukan terhadap kementerian berhubung projek jalan luar bandar kerana peruntukan berkenaan telah disalurkan sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.

Kedudukan peruntukan mungkin boleh diterangkan melalui angka, jadual dan rekod kewangan. Nasib kontraktor pula tidak boleh diselesaikan dengan penjelasan di atas kertas semata-mata.

Isu pokoknya kekal jelas: projek sudah disiapkan, tuntutan telah dikemukakan, tetapi bayaran masih belum diterima.

Jika peruntukan telah disalurkan sepenuhnya, setiap agensi yang terlibat perlu mengenal pasti dengan segera di mana proses pembayaran itu tersekat. Kontraktor tidak sepatutnya dibiarkan menjadi mangsa kepada kekeliruan, kelemahan penyelarasan atau pertikaian mengenai pihak yang harus dipertanggungjawabkan.

Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila sebahagian besar kontraktor kecil bergantung pada pembiayaan institusi kewangan atau agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menyediakan modal kerja.

Pinjaman tersebut mempunyai jadual pembayaran yang tidak akan berhenti hanya kerana bayaran kerajaan belum diterima. Bank tetap menuntut ansuran. Kegagalan melunaskan komitmen boleh menyebabkan tindakan diambil, akaun ditutup atau kontraktor dimasukkan ke dalam senarai hitam.

Mereka akhirnya dihukum bukan kerana gagal melaksanakan projek, tetapi kerana bayaran untuk kerja yang telah diselesaikan tidak diterima pada waktunya.

Kesan kelewatan itu turut menular kepada pekerja dan pembekal yang tidak mengetahui kedudukan sebenar antara kontraktor dengan KKDW. Pekerja tetap memerlukan gaji untuk menyara keluarga, manakala pembekal berhak menuntut bayaran berdasarkan tempoh kredit yang dipersetujui.

Tanpa aliran tunai, kontraktor boleh berdepan pertikaian dengan pekerja, tuntutan hutang, saman daripada pembekal, penyitaan aset dan kegagalan membayar balik pinjaman. Masalah yang bermula sebagai kelewatan pentadbiran akhirnya boleh memusnahkan sebuah perniagaan serta menjejaskan seluruh rantaian ekonomi setempat.

Tukiman turut mendedahkan bahawa terdapat kontraktor yang terpaksa meninggalkan perniagaan kerana tidak lagi mampu membayar gaji pekerja dan menyelesaikan hutang. Keadaan itu amat serius memandangkan sebahagian besar kontraktor terkesan ialah kontraktor kecil yang melaksanakan projek berskala kecil di bawah KKDW.

Golongan ini bukan syarikat korporat besar yang mempunyai rizab tunai untuk bertahan berbulan-bulan. Satu pembayaran yang tertangguh boleh menjadi garis pemisah antara terus berniaga dengan menutup operasi.

Kerajaan perlu menyelesaikan isu ini melalui penyelarasan segera dan telus antara Kementerian Kewangan, KKDW serta setiap agensi pelaksana. Status projek, tuntutan yang telah disahkan, baki peruntukan dan jadual pembayaran mesti diperincikan supaya kontraktor tidak terus menunggu tanpa kepastian.

Pertikaian tentang kementerian mana yang telah membelanjakan peruntukan tidak boleh mengatasi tanggungjawab membayar kerja yang telah disiapkan. Kontraktor kecil juga tidak boleh terus dipaksa menjadi bank tanpa faedah bagi membiayai projek kerajaan.

Mereka telah menyiapkan projek. Mereka telah mendahulukan modal. Mereka telah menanggung segala risiko.

Jangan biarkan mereka pula yang tumbang.

 

Previous Post Next Post

نموذج الاتصال