KUALA LUMPUR: Penjawat awam kanan perlu menunjukkan pertimbangan, disiplin dan tertib institusi yang lebih tinggi apabila berdepan perbezaan pandangan dengan anggota pentadbiran kerajaan, kata mantan Ketua Unit Komunikasi Korporat Jabatan Perdana Menteri (JPM), Raziz Rashid.
Beliau berkata pertikaian antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan Kementerian Kewangan (MOF) kini tidak lagi semata-mata berkisar mengenai pihak mana yang mempunyai angka tepat berhubung peruntukan, komitmen projek atau pembayaran kepada kontraktor.
Sebaliknya, katanya, isu yang lebih besar ialah cara perbezaan dalaman kerajaan dikendalikan, terutama apabila ia melibatkan seorang Timbalan Perdana Menteri dan antara pegawai tertinggi dalam perkhidmatan awam.
“YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan Ahli Parlimen pembangkang yang membuat tuduhan dari luar kerajaan. Beliau ialah Timbalan Perdana Menteri, Menteri KKDW dan anggota kanan Jemaah Menteri.
“Kalau ada perbezaan mengenai peruntukan, komitmen atau pembayaran kepada kontraktor, kerajaan sudah mempunyai seluruh jentera pentadbiran untuk menyelesaikannya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut Raziz, perkara sedemikian sepatutnya diselesaikan melalui saluran dalaman kerajaan dengan semua dokumen berkaitan termasuk waran peruntukan, Surat Setuju Terima (SST), komitmen projek dan tuntutan pembayaran diperiksa secara menyeluruh.
“Panggil mesyuarat, buka semua angka dan semak. Kalau KKDW salah, betulkan KKDW. Kalau MOF salah, betulkan MOF. Kalau perlu keputusan dasar, bawa ke Jemaah Menteri.
“Semudah itu. Itulah fungsi kerajaan,” katanya.
Raziz berkata beliau mempersoalkan pertimbangan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Tan Sri Johan Mahmood Merican untuk menjawab secara terbuka kenyataan Timbalan Perdana Menteri berhubung isu berkenaan.
Katanya, pada kedudukan setinggi itu, seseorang penjawat awam bukan sahaja bertanggungjawab memastikan fakta kementeriannya tepat, malah perlu menjaga batas peranan, neutraliti dan kewibawaan institusi perkhidmatan awam.
“KSP bukan jurucakap politik. Tugasnya bukan sekadar mempertahankan angka MOF, tetapi turut melindungi neutraliti, disiplin, profesionalisme dan integriti perkhidmatan awam.
“Apabila penjawat awam kanan mula bercanggah secara terbuka dengan Timbalan Perdana Menteri mengenai perkara dalaman kerajaan, perkhidmatan awam sendiri akhirnya ditarik masuk ke dalam pertikaian politik.
“Pada tahap itu, penjawat awam perlu lebih tertib,” katanya.
Beliau berkata perbezaan fakta atau tafsiran antara kementerian tidak seharusnya secara automatik diterjemahkan kepada pertukaran kenyataan melalui media kerana kerajaan mempunyai struktur pentadbiran yang membolehkan perkara tersebut dijelaskan secara terus.
Menurut Raziz, jika MOF mempunyai maklumat yang menunjukkan kedudukan sebenar berbeza daripada kefahaman Menteri KKDW, pendekatan paling wajar ialah memberikan taklimat secara langsung dan menyelesaikan perbezaan tersebut dalam kerajaan.
“Duduk bersama. Tunjukkan angka. Terangkan kedudukan sebenar dan selesaikan.
“Tidak perlu menjawab Timbalan Perdana Menteri sendiri melalui media, kemudian terkejut apabila perkara itu berkembang menjadi pertikaian terbuka,” katanya.
Raziz pada masa sama berkata kekecewaan Ahmad Zahid perlu difahami dalam konteks tanggungjawab seorang menteri terhadap projek yang sedang dilaksanakan serta kontraktor yang menunggu pembayaran.
Katanya, apabila kerja telah dilaksanakan, tuntutan masih belum diselesaikan dan kontraktor mula mempersoalkan kelewatan pembayaran, menteri yang bertanggungjawab terhadap kementerian berkenaan berdepan tekanan secara langsung di lapangan.
“Beliau yang berhadapan dengan kontraktor, rakyat dan akibat politik apabila projek terganggu atau bayaran tertangguh.
“Ini tidak bermaksud disiplin fiskal tidak penting. Tetapi jika terdapat perbezaan antara peruntukan tahunan, komitmen projek berbilang tahun dan keperluan aliran tunai, itulah perkara yang sepatutnya diselesaikan oleh jentera kerajaan,” katanya.
Raziz berkata pertukaran kenyataan terbuka itu kini wajar dihentikan sebelum memberi gambaran lebih buruk terhadap tahap penyelarasan dalam kerajaan.
Beliau berkata Ketua Setiausaha Negara (KSN), KSP, Ketua Setiausaha KKDW serta agensi berkaitan mempunyai saluran mencukupi untuk menyemak keseluruhan fakta dan mencari penyelesaian tanpa meneruskan polemik di ruang awam.
“Letakkan semua angka di atas meja. Selesaikan fakta dan proses. Tidak perlu ada episod seterusnya di media,” katanya.
Menurut beliau, disiplin komunikasi kerajaan mempunyai implikasi lebih besar daripada sekadar persepsi politik domestik kerana pelabur, diplomat, institusi antarabangsa serta kerajaan asing turut menilai tahap penyelarasan dan keupayaan sesebuah pentadbiran mengurus perbezaan dalaman.
“Mereka tidak peduli siapa yang menang dalam perang kenyataan. Apa yang mereka lihat ialah sama ada kerajaan mempunyai disiplin, koordinasi dan keupayaan menyelesaikan masalahnya sendiri.
“Kalau setiap perbezaan antara kementerian dan anggota pentadbiran perlu diselesaikan melalui media, gambaran yang terhasil ialah kerajaan sedang bertelingkah dengan dirinya sendiri,” katanya.
Raziz menegaskan perkhidmatan awam mempunyai tradisi profesionalisme yang perlu terus dipelihara, termasuk kebijaksanaan untuk membezakan antara keperluan menjelaskan fakta dengan keperluan menjaga tertib institusi.
“Boleh mempertahankan fakta tanpa menjadikan penjawat awam sebahagian daripada pertarungan politik.
“Boleh berbeza pandangan tanpa perlu berlawan kenyataan di media.
“Pada kedudukan tertinggi dalam kerajaan, standard itu sepatutnya lebih tinggi. Penjawat awam perlu lebih tertib,” katanya.
Tags
Berita

