Malaysia Hot

Kenapa Isu Baja Anwar Tidak Dikaitkan Dengan “SAKAU”? Mahu Selamatkan Mat Sabu atau Siapa?




Isu kelewatan baja kepada pesawah MADA bukan lagi sekadar masalah penghantaran. Ia sudah menjadi persoalan besar mengenai tadbir urus, proses perolehan, kuasa kelulusan dan kemungkinan campur tangan di peringkat tertinggi kerajaan.

Angkanya cukup untuk menggambarkan betapa serius masalah ini. Setakat 29 Jun lalu, hanya 37,560 beg Baja Sebatian Tambahan Padi 3 diterima daripada keperluan keseluruhan 616,015 beg. Daripada jumlah itu, hanya 30,799 beg diagihkan kepada pesawah. 

Pada 18 Ogos, MADA memaklumkan 478,455 beg masih belum dibekalkan, melibatkan kira-kira 38,000 pesawah dan kawasan tanaman seluas 78,117 hektar. Lebih membimbangkan, sekitar 52,000 hektar tanaman ketika itu berada dalam tempoh kritikal antara 31 hingga 75 Hari Lepas Tabur. 

RTM dan Bernama pernah melaporkan bahawa kelewatan itu berisiko menjejaskan pembentukan tangkai, pengisian biji dan hasil tuaian pesawah.

MADA turut mengesahkan wujud ketidakseragaman fizikal baja, termasuk dari segi saiz butiran dan kandungan habuk. Ertinya, isu ini bukan hanya baja lambat sampai, tetapi juga melibatkan persoalan sama ada bekalan yang sampai menepati spesifikasi kontrak.

Pada 2 September, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, mengumumkan bahawa beliau telah menulis surat kepada Perdana Menteri pada 27 Ogos untuk memohon supaya kontrak Taveekun Manufacturing Sdn. Bhd. ditamatkan. Beliau juga mencadangkan anak syarikat NAFAS, Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd., mengambil alih baki pembekalan. Anwar, yang juga Menteri Kewangan, bersetuju dengan cadangan tersebut. Bernama melaporkan baki bekalan dijadualkan dihantar dalam tempoh 10 hari.

Di sinilah persoalan besar dan agak pelik bermula.

Jika keputusan menamatkan pembekal dan melantik pengganti memerlukan persetujuan Perdana Menteri, bagaimana pula proses asal memilih pembekal berlaku?

Siapa yang membuat keputusan akhir?

Adakah MADA hanya menjalankan proses teknikal, sedangkan keputusan sebenar dibuat di peringkat kementerian?

Jika benar terdapat perubahan daripada cadangan asal MADA, siapa yang mengubahnya dan atas alasan apa?

Persoalan ini bukan direka oleh pembangkang semata-mata. Ia turut dibangkitkan oleh bekas Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh. Dalam penjelasan beliau, proses tender dibuat di MADA melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, namun keputusan tender yang dibuat di MADA dikatakan berubah selepas melalui peringkat Kementerian Kewangan. Beliau turut mempersoalkan mengapa pembekal yang akhirnya dipilih gagal menghantar baja mengikut jadual. Baca penjelasan Dr Ismail Salleh.

Dakwaan itu perlu disiasat, bukan ditenggelamkan dengan kenyataan bahawa masalah sudah selesai selepas pembekal ditukar.

Rekod rasmi MADA sendiri menunjukkan Taaveekun Manufacturing Sdn. Bhd. dikaitkan dengan tender MADA(T)/BIP/A/02/2026 bagi membekal, menghantar dan mengedar baja sebatian tambahan. Pada masa sama, Pengerusi Peladang Muda PPK MADA, Aswadil Khairi Che Omar, menegaskan bahawa keputusan pembekal dan proses tender dibuat di peringkat kementerian, manakala MADA dan PPK terpaksa berdepan kemarahan pesawah di lapangan.

Maka, kerajaan tidak boleh sekadar menunjuk kepada syarikat pembekal. Syarikat mungkin gagal menunaikan kontrak, namun persoalan yang lebih penting ialah siapa yang menilai keupayaannya, siapa yang meluluskan pelantikannya dan mengapa amaran awal tidak membawa kepada tindakan lebih pantas.

Pada 6 September, Anwar mengarahkan SPRM menyiasat kelewatan itu serta mengkaji semula proses pembekalan. Beliau berkata jika syarikat berulang kali gagal, kontrak perlu dibatalkan dan tindakan mahkamah perlu diambil. Namun dalam ucapan sama, beliau menyifatkan rekod KPKM sebagai baik serta memuji Mohamad Sabu sebagai pemimpin yang prihatin kepada rakyat. Rujuk: Teks ucapan rasmi Pejabat Perdana Menteri.

Secara politik, mesej itu jelas bahawa kesalahan cuba diletakkan kepada syarikat, manakala kementerian dan menterinya diberikan perlindungan moral.

Anwar memang menyebut “rasuah” dan “sakau” dalam bahagian lain ucapannya tetapi apabila masuk kepada isu baja, istilah yang digunakan ialah syarikat, kelewatan, kegagalan kontrak dan tindakan pentadbiran. Mengapa? Adakah kerana belum ada bukti rasuah? Itu alasan yang sah dari sudut undang-undang. Tiada siapa boleh dijatuhkan hukuman hanya berdasarkan persepsi. Berlainan dengan isu Tabung Haji dan terkini isu Felda.

Namun, alasan itu tidak boleh digunakan untuk menutup persoalan mengenai proses perolehan.

Jika siasatan SPRM mendapati hanya syarikat yang gagal, kerajaan perlu mendedahkan dapatan tersebut. Jika terdapat perubahan keputusan di peringkat kementerian, kerajaan perlu menjelaskan siapa yang bertanggungjawab. Jika Kementerian Kewangan terlibat, maka peranan Anwar sebagai Menteri Kewangan juga mesti diteliti. Jika Kementerian Kewangan tidak terlibat, Anwar wajib menjelaskan perkara itu secara terbuka supaya nama kementerian tersebut tidak terus dikaitkan secara kabur.

Inilah maksud sebenar akauntabiliti. Bukan sekadar menukar pembekal selepas pesawah marah. Bukan sekadar mengumumkan baja akan sampai dalam tempoh 10 hari. Akauntabiliti bermaksud kerajaan mendedahkan keseluruhan rantaian keputusan daripada tender dibuka, penilaian dibuat, pembekal dipilih, kontrak ditandatangani, kelewatan berlaku sehingga tindakan penamatan diambil.

Pesawah tidak meminta simpati. Mereka meminta hak, kepastian dan penjelasan.

Jadi, Anwar tidak boleh berhenti pada arahan “siasat syarikat”. Beliau perlu memastikan siasatan itu turut meneliti kementerian, lembaga perolehan, pegawai pelulus dan semua pihak yang terlibat dalam perubahan keputusan tender.

Persoalan akhirnya bukan sekadar mengapa baja lewat.

Persoalannya, apabila keputusan asal berubah dan pesawah menjadi mangsa, siapa sebenarnya yang sedang dilindungi?

Jika kerajaan benar-benar bersih, buka semua dokumen. Jika tiada unsur “sakau”, buktikan. Jika ada pihak yang menyalahgunakan kuasa, jangan lindungi sesiapa termasuk menteri, kementerian atau orang yang berada paling hampir dengan kuasa.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال