Malaysia Hot

Pahang: Tanah Adat Atau Ada Taukeh Besar Guna Orang Asli?


Beberapa hari yang lalu, media sosial kecoh dengan rakaman operasi penguatkuasaan di Tasik Bera, Pahang. Rakaman yang tular memaparkan ketegangan antara sekumpulan masyarakat Orang Asli dengan anggota penguat kuasa sehingga mencetuskan pelbagai reaksi. Dalam masa yang singkat, isu itu mula digambarkan sebagai pertarungan masyarakat Orang Asli mempertahankan kawasan yang didakwa sebagai tanah adat daripada tindakan pihak berkuasa.

Namun perkembangan selepas itu membuka satu dimensi yang jauh lebih besar. Apabila pasukan penguat kuasa berjaya memasuki kawasan berkenaan dan melakukan pemeriksaan lebih menyeluruh, persoalan yang timbul bukan lagi sekadar tentang insiden yang dirakam beberapa minit dalam video tular. Persoalannya sekarang ialah apakah sebenarnya yang berlaku terhadap ribuan hektar tanah di kawasan Hutan Simpan Kekal Tasik Bera.

Pada 18 September 2026, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang atau UPNP mendedahkan bahawa lebih 7,000 hektar Hutan Simpan Kekal Tasik Bera disyaki telah diteroka secara haram untuk tanaman komersial, antaranya kelapa sawit dan getah. Operasi bersepadu yang bermula pada 14 September itu melibatkan 160 pegawai dan anggota daripada beberapa agensi termasuk UPNP, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Perhilitan, Pejabat Daerah dan Tanah Bera serta pasukan keselamatan.

Angka lebih 7,000 hektar itu bukan angka kecil yang boleh dipandang sepintas lalu. Pada skala sedemikian, persoalannya tidak lagi terbatas kepada aktiviti bercucuk tanam beberapa keluarga untuk menyara kehidupan. Penerokaan tanaman komersial berskala besar lazimnya memerlukan modal, tenaga kerja, bahan tanaman, pengangkutan, pembeli dan rangkaian pemasaran. Justeru, persoalan paling asas yang perlu dijawab ialah siapa sebenarnya yang berada di belakang kegiatan tersebut.

Lebih mengejutkan apabila Ketua UPNP, Saifullah Muhammad Ali, memaklumkan bahawa terdapat kawasan yang hanya mempunyai kira-kira enam buah rumah Orang Asli tetapi penerokaan yang dikesan meliputi sehingga 404.68 hektar. Pendedahan itu datang terus daripada pihak penguat kuasa yang menjalankan operasi di lapangan.

Enam rumah tetapi lebih 400 hektar kawasan diteroka tentunya menimbulkan persoalan yang sukar dielakkan. Adakah keseluruhan keluasan tersebut benar-benar diperlukan untuk sara hidup penduduk berkenaan? Siapa yang menyediakan modal untuk mengusahakannya? Siapa membawa masuk benih dan jentera? Siapa mengangkut hasil keluar dan siapa pula pembeli akhirnya?

Persoalan itu menjadi lebih serius apabila UPNP turut menyatakan bahawa pihaknya mengesyaki terdapat sindiket haram dari luar Pahang yang memanipulasi masyarakat Orang Asli untuk membuka kawasan tanah secara besar-besaran dengan berselindung di sebalik alasan tanah adat dan kawasan rayau. Ini merupakan syak pihak penguat kuasa yang masih memerlukan siasatan dan pembuktian, bukannya suatu keputusan muktamad bahawa semua masyarakat Orang Asli di kawasan itu terlibat. 

Namun jika syak tersebut akhirnya terbukti, isu ini berubah sama sekali. Ia bukan lagi cerita masyarakat Orang Asli berhadapan dengan kerajaan semata-mata. Ia menjadi persoalan sama ada terdapat pihak bermodal besar yang menggunakan nama, kedudukan dan tuntutan masyarakat Orang Asli sebagai benteng untuk menjalankan kegiatan komersial pada skala yang jauh lebih besar.

Jika benar ada pihak sedemikian, siapakah mereka?

Adakah masyarakat Orang Asli sendiri menerima keuntungan utama daripada hasil tanah tersebut, atau mereka hanya berada di bahagian hadapan sedangkan modal, pembelian hasil dan keuntungan besar dikawal pihak lain?

Itulah yang perlu dibongkar.

Masyarakat Orang Asli tidak sepatutnya dihukum secara pukal hanya kerana berlaku pertikaian atau kerana pihak berkuasa mengesyaki wujud sindiket. Hak mereka terhadap tanah adat, kehidupan tradisional dan kawasan rayau yang sah perlu dihormati. Pada masa sama, penghormatan terhadap hak Orang Asli juga tidak bermaksud pihak berkuasa perlu menutup mata jika terdapat pihak lain yang mengambil kesempatan menggunakan nama komuniti itu.

Malah, jika benar masyarakat Orang Asli sedang dimanipulasi oleh sindiket luar, maka tindakan membongkar pihak yang berada di belakang kegiatan tersebut sebenarnya penting untuk melindungi masyarakat Orang Asli sendiri. Jangan sampai mereka menjadi wajah yang dipertontonkan di hadapan kamera sedangkan pihak yang mendapat keuntungan sebenar terus bersembunyi di belakang.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ramli Mohd Nor, turut menyeru supaya isu penerokaan berkenaan disiasat sehingga ke akar umbi bagi mengenal pasti pihak sebenar yang bertanggungjawab, termasuk kemungkinan terdapat pihak luar menggunakan nama masyarakat Orang Asli. Pada masa yang sama, beliau mengingatkan supaya masyarakat tidak membuat kesimpulan sebelum siasatan diselesaikan berdasarkan bukti. 

Pada 15 September, lima individu Orang Asli turut ditahan kerana dipercayai menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika operasi berkenaan. Polis memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak disahkan sehingga menimbulkan salah faham. 

Rakaman tular mungkin menunjukkan apa yang berlaku selama beberapa minit di satu lokasi tetapi rakaman udara, pemeriksaan di lapangan dan angka penerokaan yang didedahkan selepas itu menuntut masyarakat melihat isu ini dalam gambaran yang jauh lebih besar.

Lebih 7,000 hektar disyaki diteroka. Di satu lokasi, sekitar enam rumah tetapi penerokaan dikesan sehingga 404.68 hektar. UPNP pula mengesyaki wujud sindiket luar Pahang yang memanipulasi masyarakat Orang Asli.

Semua itu belum menjawab persoalan paling penting.

Siapa buka tanah itu? Siapa keluarkan modal? Siapa membeli hasilnya? Dan siapa sebenarnya yang mendapat keuntungan?

Pihak berkuasa wajar siasat taukeh atau sindiket besar yang selama ini menggunakan masyarakat Orang Asli sebagai perisai untuk meneroka tanah secara komersial, maka mereka inilah yang mesti diburu sehingga ke akar.

Apa yang jelas, mempertahankan hak Orang Asli tidak sepatutnya bermaksud mempertahankan pihak yang mungkin mengambil kesempatan atas nama Orang Asli.

Tasik Bera kini bukan sekadar persoalan tanah adat. Persoalan yang lebih besar ialah sama ada di belakang nama “tanah adat” itu sebenarnya terdapat tangan lain yang sedang mengaut keuntungan.


Previous Post Next Post

نموذج الاتصال