Hannah Yeoh berkata kuasa pengampunan berada pada Yang di-Pertuan Agong. Benar. Tetapi jika itulah prinsip yang mahu dipertahankannya, mengapa semangat menghormati kuasa tersebut kelihatan begitu berbeza apabila nama penerimanya berubah daripada Anwar Ibrahim kepada Najib Razak?
Di sinilah persoalan "double standard" DAP bermula.
Pada 16 Mei 2018, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan selepas menerima pengampunan penuh. Malaysia ketika itu baru melalui pertukaran kerajaan. Tan Sri Mohamed Apandi Ali masih merupakan Peguam Negara tetapi sedang bercuti dan tidak hadir sendiri dalam mesyuarat berkenaan. Peguam Negara baharu pula belum dilantik.
Namun DAP tidak menjadikan ketidakhadiran fizikal Peguam Negara sebagai krisis perlembagaan. Hannah Yeoh tidak mempersoalkan sama ada keputusan itu boleh dihormati. Tiada kempen mendesak supaya setiap butiran mesyuarat didedahkan. Tiada percubaan membina persepsi bahawa pengampunan tersebut meragukan memandangkan Peguam Negara tidak berada dalam bilik mesyuarat tersebut.
Perkara ini penting. Perkara 42(5) Perlembagaan Persekutuan meletakkan Peguam Negara sebagai anggota Lembaga Pengampunan tetapi membenarkan fungsinya diwakilkan secara bertulis. Perkara 42(9) pula menghendaki Lembaga mempertimbangkan apa-apa pandangan bertulis yang mungkin dikemukakan oleh Peguam Negara sebelum nasihat diberikan.
Konsistensi politik DAP dalam perkara ini dipertikaikan.
Ketika keputusan memihak kepada Anwar, DAP menerima bahawa ketidakhadiran fizikal Peguam Negara tidak dengan sendirinya membatalkan proses. Yang penting ialah fungsi perlembagaan dilaksanakan, pandangan bertulis dipertimbangkan dan keputusan Yang di-Pertuan Agong dihormati.
UMNO tidak menghasut rakyat supaya menolak pengampunan Anwar. Walaupun Anwar ialah seteru politik utama UMNO, keputusan tersebut dihormati. UMNO mempertikaikan keputusan diraja mana yang mahu diterima berdasarkan siapa penerimanya.
Apabila Pengampunan DiRaja melibatkan Najib, nada Hannah dan DAP berubah.
Tiba-tiba Hannah Yeoh dan DAP begitu ghairah mempertikaikan isu proses, kehadiran, mesyuarat dan tafsiran kuasa. Setiap ruang mahu dipersoalkan. Setiap kemungkinan mahu dicurigai. Seolah-olah pengampunan Anwar mesti diterima sebagai keadilan tetapi apa-apa ihsan kepada Najib perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan politik DAP.
Bukankah ini "double standard" paling nyata?
Jika Hannah benar-benar berpegang bahawa kuasa pengampunan berada pada Yang di-Pertuan Agong, maka pendirian itu wajib kekal sama. Kuasa tersebut tidak menjadi mulia hanya ketika membebaskan Anwar kemudian berubah menjadi bahan pertikaian apabila melibatkan Najib.
DAP tidak boleh membaca Perkara 42 menggunakan dua kanta. Diperakui apabila melibatkan pemimpin sendiri tetapi ditolak apabila melibatkan lawan.
Hannah dan DAP perlu menjawab tiga soalan.
Pertama, ketika Anwar menerima pengampunan penuh pada 2018, adakah DAP mempertikaikan keputusan itu hanya kerana Peguam Negara tidak hadir?
Kedua, jika pandangan bertulis Peguam Negara memadai untuk memenuhi fungsi perlembagaan ketika itu, mengapa isu kehadiran dan proses mahu dipolitikkan secara berbeza apabila melibatkan Najib?
Ketiga, jika kuasa pengampunan benar-benar milik Yang di-Pertuan Agong, mengapa keputusan yang memihak kepada Najib perlu seolah-olah melepasi satu lagi tapisan, iaitu restu politik DAP?
UMNO akur dan menjunjung titah YDPA pada 2018. Kini DAP pula diuji menggunakan ukuran yang sama.
Prinsip tidak boleh berubah mengikut nama. Keadilan yang hanya dipertahankan untuk sekutu bukanlah keadilan. Ia hanyalah keberpihakan yang memakai bahasa undang-undang.
Rakyat bukan meminta layanan istimewa untuk Najib. Rakyat menuntut layanan yang konsisten. Jika pengampunan Anwar diterima tanpa ketidakhadiran fizikal Peguam Negara dijadikan alasan untuk mencetuskan krisis, prinsip serupa mesti terpakai apabila melibatkan Najib.
Hormati kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagaimana ia dihormati pada 2018. Hormati proses perlembagaan tanpa memilih penerimanya. Jangan gunakan institusi diraja sebagai lambang keadilan apabila ia memihak kepada kawan tetapi jadikan prosesnya sasaran pertikaian apabila ia memberikan ruang kepada lawan.
Akhirnya, persoalannya bukan sekadar Anwar atau Najib.
Persoalannya sama ada DAP benar-benar mempertahankan Perlembagaan atau sekadar mempertahankan kecenderungan politiknya untuk menentukan keputusan mana yang boleh diterima.

