Malaysia Hot

Anthony Loke Sengaja Biarkan MyEG-Zetrix AI Tidak Bayar RM314 Juta Kepada JPJ?




Kutip hari ini, bayar JPJ esok.

Itulah prinsip yang sepatutnya mengikat MyEG dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Wang yang diterima daripada rakyat wajib dipindahkan kepada kerajaan dalam tempoh satu hari bekerja selepas transaksi dilaksanakan. Namun, bagaimana kewajipan sehari boleh berakhir dengan tunggakan RM314 juta yang berlarutan selama berbulan-bulan sebelum tindakan penggantungan dilaksanakan?

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sendiri mengesahkan tunggakan tersebut melibatkan kutipan antara 19 Mei hingga 30 September 2026. Sepanjang tempoh itu, sebanyak 35 notis peringatan dikeluarkan dan empat sesi libat urus diadakan bagi mendapatkan bayaran. Bagaimanapun, penggantungan perkhidmatan kedua-dua syarikat hanya berkuat kuasa pada 5 Oktober 2026. Ini menunjukkan bahawa Anthony Loke tahu masalah yang melibatkan ‘wang rakyat’ ini semakin membesar dan sukar untuk diselesaikan.

Persoalannya, apakah sebenarnya nilai 35 peringatan jika jumlah tunggakan terus meningkat sehingga ratusan juta ringgit?

Pada tahap manakah kementerian mengetahui bahawa peringatan semata-mata tidak lagi mencukupi untuk melindungi hasil kerajaan?

Untuk memahami isu ini, perjanjian antara JPJ dengan kumpulan MyEG perlu diperhatikan. Pada 30 Oktober 2023, MY E.G. Services Berhad bersama anak syarikat milik penuhnya, My E.G. Sdn Bhd menerima pengesahan lanjutan pelantikan sebagai ejen pemungut hasil JPJ selama tiga tahun, bermula 23 Mei 2023 hingga 22 Mei 2026.

Pelantikan tersebut melibatkan perkhidmatan pendaftaran kenderaan, pelesenan pemandu dan kenderaan serta pembayaran saman secara elektronik. MY E.G. Services Berhad kemudiannya dikenali sebagai Zetrix AI Berhad. Kedua-dua entiti dalam kumpulan yang sama itu akhirnya terlibat dalam penggantungan perkhidmatan kutipan hasil JPJ.

Hubungan korporat ini penting kerana wang yang dikutip bagi pihak JPJ merupakan hasil kerajaan, bukannya pendapatan syarikat yang boleh ditahan mengikut pertimbangan sendiri. Sebagai ejen kutipan, kewajipan utamanya ialah memastikan hasil tersebut diserahkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Prinsipnya cukup jelas. Kutip hari ini, bayar JPJ esok. Ketetapan satu hari bekerja merupakan mekanisme kawalan bagi mengehadkan risiko wang awam terus berada dalam pegangan pihak ketiga. Apabila kewajipan itu tidak dipenuhi secara berpanjangan, persoalannya bukan sahaja kegagalan membayar tetapi juga keberkesanan sistem yang sepatutnya mengesan dan membendung tunggakan.

Anthony Loke menjelaskan RM314 juta tersebut bukan tunggakan sejak 2023, sebaliknya terkumpul mulai Mei 2026. Beliau turut mengakui kelewatan pembayaran pernah berlaku sebelum ini tetapi menurutnya tunggakan terdahulu diselesaikan selepas peringatan dikeluarkan.

Penjelasan itu membuka persoalan lebih mendalam.

Jika sejarah kelewatan pembayaran sudah diketahui, apakah langkah pencegahan yang pernah diperkenalkan?

Adakah risiko kewangan syarikat dinilai semula dan apakah had tunggakan yang dibenarkan sebelum tindakan penguatkuasaan lebih tegas perlu dilaksanakan?

Satu lagi perkara memerlukan penjelasan ialah kedudukan kontrak selepas 22 Mei 2026. Itulah tarikh tamat lanjutan tiga tahun yang diumumkan pada 2023, sedangkan tunggakan RM314 juta melibatkan kutipan sehingga September 2026. Apakah dokumen perjanjian atau pelantikan yang menjadi asas operasi kutipan sepanjang tempoh selepas tarikh tersebut? Pada tahap ini, Anthony Loke juga tahu dan mengambil sikap berdiam diri?

Perkembangan paling serius berlaku pada 21 Ogos apabila pihak syarikat menyerahkan cek bernilai RM231 juta bertarikh 30 September 2026 bagi menyelesaikan tunggakan ketika itu. Bagaimanapun, apabila cek dikemukakan untuk pembayaran, pihak bank tidak dapat memprosesnya berikutan arahan menghentikan pembayaran daripada syarikat sendiri.

Di sinilah persoalan penguatkuasaan menjadi semakin serius dan nampak tidak terkawal. Bagaimana kewajipan menyerahkan hasil dalam satu hari bekerja akhirnya melibatkan penerimaan cek bertarikh kemudian?

Adakah kaedah tersebut dibenarkan dalam perjanjian asal atau merupakan kelonggaran penyelesaian yang dipersetujui selepas tunggakan berlaku?

Siapakah yang mempunyai kuasa menerima kaedah pembayaran itu?

Apakah jaminan kewangan yang diperoleh kerajaan sebelum bersetuju menerima cek RM231 juta?

Jika pembayaran gagal, adakah kerajaan mempunyai jaminan bank, deposit keselamatan atau instrumen lain untuk mendapatkan kembali hasil tersebut?

Tanpa pendedahan terma kontrak, belum dapat dipastikan sama ada mekanisme perlindungan itu wujud tetapi tidak digunakan sepenuhnya, atau perlindungan sedia ada tidak mencukupi.

Pada 2 Oktober, JPJ mengumumkan penggantungan MyEG dan Zetrix AI sebagai ejen pemungut berkuat kuasa 5 Oktober selepas mengambil kira pematuhan syarat perjanjian serta obligasi yang belum diselesaikan.

Keputusan tersebut menunjukkan tindakan penguatkuasaan akhirnya dilaksanakan. Namun, persoalan mengenai mengapa tunggakan dibenarkan terus meningkat sebelum penggantungan dibuat masih memerlukan penjelasan berdasarkan kronologi keputusan kementerian.

Pada 8 Oktober, laporan mengenai makluman Zetrix AI kepada Bursa Malaysia mengesahkan jumlah RM314 juta sebagai kutipan yang belum diserahkan kepada JPJ. Syarikat itu turut menyatakan liabiliti tersebut telah diiktiraf sebagai amaun perlu dibayar dalam penyata kewangannya.

Pengiktirafan hutang dalam rekod kewangan bukan bermaksud wang telah dipulangkan. Cadangan penyelesaian yang dikemukakan syarikat juga belum boleh dianggap sebagai pelunasan kewajipan terhadap kerajaan.

Anthony Loke menegaskan tindakan penggantungan dibuat tanpa pertimbangan politik dan perkhidmatan hanya akan dipertimbangkan untuk dipulihkan selepas tunggakan dijelaskan. Kerajaan turut menyatakan hasrat mengambil tindakan perundangan bagi mendapatkan semula keseluruhan hasil berkenaan.

Apa yang rakyat lihat kenapa baru sekarang Anthony Loke bertindak? Dan tindakan penguatkuasaan tersebut tidak menghapuskan persoalan mengenai keberkesanan pengawasan sepanjang bulan-bulan sebelumnya.

Kementerian Pengangkutan perlu memperjelaskan kronologi keputusan, kedudukan kontrak selepas Mei 2026, perlindungan kewangan yang tersedia serta pertimbangan yang menyebabkan penggantungan hanya dilaksanakan pada Oktober.

MyEG dan Zetrix AI perlu menjawab mengapa RM314 juta tidak diserahkan kepada JPJ. Anthony Loke pula perlu menjelaskan mengapa 35 peringatan dan empat sesi libat urus tidak berjaya menghalang tunggakan itu daripada terus meningkat.

Apa yang rakyat lihat, bukan sekadar siapa yang gagal membayar tetapi bagaimana kegagalan tersebut boleh berlarutan sedangkan kewajipannya cukup jelas.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال