Ketika berada di blok pembangkang, DAP membina sebahagian kekuatan politiknya melalui kritikan terhadap UMNO, termasuk menjadikan isu rasuah sebagai bahan politik. Namun, apabila kedua-dua parti akhirnya berkongsi kuasa dalam Kerajaan Perpaduan, DAP berdepan cabaran untuk mengekalkan pendirian politik yang selama ini menjadi sebahagian daripada identitinya.
Perjuangan DAP kononnya jaguh menentang rasuah akhirnya dilihat hanya bersandiwara.
Ambil sahaja pendirian Lim Kit Siang terhadap skandal kerugian pertukaran asing (forex) Bank Negara Malaysia. Selama lebih dua dekad, dari 1993 hingga 2017, beliau berulang kali membangkitkan kerugian berbilion ringgit itu, termasuk isu tanggungjawab politik dan pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Tun Daim Zainuddin.
Kesungguhan Lim ketika itu bukan sekadar melalui kenyataan media. Beliau membawa isu berkenaan ke Parlimen, menerbitkan buku The Bank Negara RM30 Billion Forex Losses Scandal pada 1994 dan berulang kali mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Baginya, kerugian sebesar itu tidak sepatutnya berlalu tanpa siasatan menyeluruh serta penjelasan mengenai pihak yang bertanggungjawab.
Namun, apabila Dr Mahathir mula bekerjasama dengan DAP pada 2017, kelantangan suara Kit Siang dan DAP terhenti serta merta. Mahathir menjadi suci bagi DAP sehinggalah ke hari ini.
Kini, serangan politik DAP dilihat kembali menggunakan pendekatan yang sama, dengan sasaran yang juga tidak berubah, iaitu Presiden UMNO. Bezanya hanyalah individu yang menjadi tumpuan. Jika dahulu Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi sasaran utama, kini perhatian beralih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Presiden UMNO. Perubahan tokoh tidak mengubah corak kritikan politik yang dibangkitkan DAP terhadap kepimpinan tertinggi parti UMNO BN.
Dalam keadaan pencapaian pilihan rayanya semakin mencabar bagi DAP, penganalisis politik tempatan melihat DAP sudah kehilangan sokongan yang ketara. Kalah teruk di Pilihanraya Negeri Sabah, Johor dan Negeri Sembilan menyebabkan DAP terpaksa menjadikan Presiden UMNO sebagai sasaran untuk memburukkan nama UMNO BN.
Dalam perkembangan yang mengundang kritikan sebagai satu lagi serangan politik terhadap Presiden UMNO, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, mendesak supaya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa semula berhubung 47 pertuduhan dalam kes Yayasan Akalbudi. Ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Rayer mempertikaikan keputusan menghentikan pendakwaan terhadap Zahid dan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya membawa perkara tersebut kepada perhatian Peguam Negara untuk mempertimbangkan pendakwaan semula.
Rayer dikritik teruk apabila menjadikannya sebagai bahan politik murahan, meskipun keputusan mengenai pendakwaan merupakan bidang kuasa Peguam Negara yang perlu dilaksanakan berlandaskan undang-undang dan bukti.
Sebagai seorang peguam, ahli parlimen Jelutong tahu bahawa Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa budi bicara kepada Peguam Negara untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan prosiding jenayah. Kuasa tersebut bukan bermaksud setiap keputusan pendakwaan terlepas daripada penelitian tetapi pertimbangan mendakwa seseorang mesti berasaskan bukti dan undang-undang, bukannya kehendak politik. Menggesa penjelasan merupakan hak demokratik, sedangkan menentukan hasil sesuatu pendakwaan bukan bidang kuasa ahli politik.
Dalam kes Yayasan Akalbudi, Mahkamah Tinggi pada Januari 2022 memerintahkan Zahid membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie. Bagaimanapun, keputusan itu bukan sabitan bersalah. Pada September 2023, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk melepaskan beliau tanpa membebaskannya (DNAA), sebelum Jabatan Peguam Negara mengumumkan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) pada 8 Januari 2026.
Menurut Jabatan Peguam Negara, keputusan NFA dibuat selepas siasatan tambahan SPRM, penelitian terhadap enam representasi pembelaan serta penilaian semula fakta dan keterangan. Hasil penelitian tersebut mendapati bukti yang tersedia tidak mencukupi untuk meneruskan keseluruhan 47 pertuduhan berkenaan. Keputusan itu merupakan pendirian rasmi pendakwaan, walaupun ia bukan penghakiman pembebasan penuh selepas perbicaraan.
Pertikaian perundangan tersebut juga masih belum selesai. Pada 8 Oktober, Mahkamah Persekutuan membenarkan Zahid dan Peguam Negara merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membolehkan Badan Peguam Malaysia mencabar pemberhentian pendakwaan melalui semakan kehakiman. Pada 12 Oktober pula, Mahkamah Tinggi menetapkan 14 Jun 2027 bagi pengurusan kes sementara menunggu perkembangan rayuan berkenaan.
Corak serangan politik yang ditampilkan sebahagian wakil rakyat DAP, sama ada di Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri, mengundang kritikan bahawa parti itu masih bergantung kepada pendekatan lama, iaitu membina persepsi negatif terhadap musuh politik melalui isu-isu yang dipilih. Desakan yang disuarakan atas nama undang-undang dan integriti sepatutnya berasaskan prinsip yang konsisten, bukannya dilihat berubah mengikut kepentingan politik semasa.
Jika empat dekad lalu maklumat tidak mudah diperoleh dan rakyat banyak bergantung kepada kenyataan pemimpin politik serta laporan media, keadaan hari ini jauh berbeza. Segala ucapan, pendirian dan percanggahan boleh disemak dalam sekelip mata. Justeru, serangan politik yang hanya tertumpu kepada pihak lawan, tanpa ketegasan serupa terhadap isu yang melibatkan rakan sendiri, semakin mudah dipersoalkan oleh rakyat.
Ambil sahaja desakan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, supaya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa semula. Jika beliau begitu lantang menuntut pertanggungjawaban dalam kes Yayasan Akalbudi, mengapa desakan yang sama tidak lebih jelas kedengaran berhubung tunggakan RM314 juta hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melibatkan MyEG dan Zetrix AI, di bawah kementerian yang diterajui Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook? Jumlah itu merupakan hasil kerajaan yang belum diserahkan ketika isu tersebut didedahkan dan rakyat berhak mengetahui bagaimana tunggakan sebesar itu boleh berlaku serta sejauh mana usaha mendapatkannya kembali.
Begitu juga dengan pelaburan RM163.4 juta Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam eFishery yang terpalit dengan skandal penipuan kewangan di Indonesia. Meskipun nilai pelaburan tersebut belum disahkan hangus sepenuhnya, risiko terhadap dana persaraan negara tetap memerlukan penelitian. Belum termasuk dakwaan berkaitan kegiatan yang sering digelar sebagai ‘mafia korporat’, yang juga wajar disiasat berdasarkan bukti.
Di manakah ketegasan DAP dan Ahli Parlimen Jelutong dalam menuntut penjelasan menyeluruh terhadap isu-isu ini? Jika prinsip memerangi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa benar-benar menjadi pegangan, ukuran yang sama sepatutnya digunakan terhadap semua pihak, termasuk pemimpin serta institusi yang berada dalam lingkungan kerajaan sendiri.
Itulah DAP yang sebenarnya, mereka tengah gelabah kerana pilihanraya Melaka bakal menyaksikan berapa lagi kerusi DAP bakal hilang. Mungkin semua sekali.

