Malaysia Hot

Kursus Baharu Peguam dijangka dilaksana pada 2028, selewat-lewatnya 2029, kata Azalina




KUALA LUMPUR, 6 Okt — Kursus Baharu Peguam atau New Bar Course (NBC) dijangka mula dilaksanakan pada 2028, atau selewat-lewatnya pada 2029, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said.

Azalina berkata tempoh berkenaan mengambil kira persediaan yang diperlukan serta beberapa dasar yang masih perlu dirangka oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang sebelum kursus itu dapat dilaksanakan.

Menurut beliau, lembaga berkenaan telah menubuhkan Pasukan Petugas New Bar Course pada 27 April 2026 bagi menjalankan kajian dan membangunkan kerangka operasi untuk pelaksanaan NBC.

“Objektif utama kajian NBC adalah untuk membangunkan kerangka operasi bagi pelaksanaan NBC dan memastikan perancangan untuk merealisasikan NBC berjalan dengan lancar,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Azalina berkata lembaga dan pasukan petugas berkenaan sedang mengambil langkah-langkah yang diperlukan ke arah pelaksanaan kursus itu, termasuk menyediakan modul kandungan bagi program Conversion Course (CC) dan Legal Practice Postgraduate Certificate (LPPC), selain membangunkan bank soalan.

Persediaan lain termasuk perolehan Sistem Pengurusan Pembelajaran atau Learning Management System serta sistem Penilaian Berasaskan Komputer atau Computer-Based Assessment untuk NBC.

Pada masa sama, peraturan akademik bagi program CC dan LPPC sedang dirangka, manakala struktur organisasi serta tenaga kerja lembaga turut diperkukuh bagi memastikan kedua-dua program itu dapat dikendalikan dengan berkesan.

Lembaga berkenaan juga merancang program pembangunan kapasiti untuk penggubal soalan, pemeriksa dan penilai, selain menetapkan kriteria bagi penyedia kursus yang berminat untuk mengendalikan program LPPC.

New Bar Course merupakan sebahagian daripada usaha pembaharuan terhadap sistem kelayakan graduan undang-undang untuk memasuki amalan guaman di Malaysia.

Kerangka yang dicadangkan itu merangkumi latihan penukaran kelayakan serta persediaan profesional di peringkat pascasiswazah.

Inisiatif tersebut dibangunkan di bawah Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang, iaitu badan yang bertanggungjawab mengawasi keperluan kelayakan profesional bagi kemasukan ke dalam amalan guaman di Malaysia.

Azalina berkata demikian sebagai menjawab soalan Kesavan Subramaniam (PH-Sungai Siput) yang meminta perkembangan terkini berhubung pelaksanaan NBC oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang serta jangkaan bila kursus berkenaan akan dimulakan.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال