Malaysia Hot

Hampir RM600 Juta, Bayaran Berperingkat Sudah Dibuat: Anthony Loke Perlu Jawab Nasib Tujuh Tren MRT


Hampir RM600 juta dan ianya bukan angka kecil. Lebih lebih lagi apabila wang sebesar itu diperuntukkan bagi memastikan tren MRT kekal selamat, boleh dipercayai dan bersedia membawa rakyat setiap hari. 

Apabila sebuah kontrak penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih sudah berjalan sejak 2024, bayaran pula dibuat secara berperingkat berdasarkan pencapaian kerja, namun tujuh tren masih belum kembali beroperasi, Alasan bahawa kerja masih berjalan nampak seperti ada sesuatu yang besar sedang disembunyikan. Anthony Loke perlu menjelaskan apa sebenarnya yang sedang berlaku.

Menurut portal Scoop, Kontrak penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih atau MRO bernilai hampir RM600 juta itu dianugerahkan kepada SMH Rail pada Julai 2024 bagi melaksanakan kerja terhadap 58 set tren MRT Laluan Kajang. Bayaran di bawah kontrak tersebut dilaporkan dibuat secara berperingkat berdasarkan peringkat pencapaian kerja yang telah dipersetujui. 

Lojiknya, jika sesuatu pembayaran hanya dilepaskan selepas peringkat pencapaian kerja tertentu dicapai dan disahkan, kerajaan perlu menjelaskan berapa banyak daripada hampir RM600 juta itu sudah dibayar, peringkat kerja apakah yang telah disahkan dan apakah hasil fizikal yang diterima bagi setiap pembayaran tersebut.

Prinsip pengurusan 'wang rakyat' sepatutnya mudah. Wang dibayar apabila kerja dilaksanakan. Apabila sesuatu peringkat kerja disahkan mencapai tahap yang dipersetujui, hasil daripada pembayaran itu sepatutnya boleh dilihat, diukur dan dipertanggungjawabkan. 

Apa yang rakyat lihat ianya tidak bergerak mengikut jadual asal sehingga MRT Corp telah memberikan dua lanjutan masa atau Extension of Time kepada SMH Rail.

Dua lanjutan masa bukan sekadar catatan pentadbiran. Apabila sebuah kontrak bernilai hampir RM600 juta sudah memerlukan dua lanjutan masa, maka dengan sendirinya kelewatan itu menjadi sebahagian daripada realiti pelaksanaan kontrak tersebut. Ada sesuatu yang tidak kena?

Rakyat berhak mengetahui mengapa kelewatan berlaku, apakah justifikasi bagi setiap lanjutan masa, apakah mekanisme yang digunakan untuk melindungi kepentingan kerajaan apabila jadual asal tidak dipenuhi dan sama ada terdapat penalti atau tindakan lain terhadap kegagalan mencapai tempoh yang dipersetujui.

Keadaan ini menjadi lebih membimbangkan apabila jumlah tren MRT yang boleh digunakan untuk operasi semakin terhad. 

Laporan awal menyebut selain tujuh tren yang berada dalam proses baik pulih, terdapat 10 set yang tidak beroperasi kerana menunggu alat ganti serta tiga lagi tidak tersedia akibat kemalangan. Berdasarkan angka yang dilaporkan ketika itu, hanya 38 daripada keseluruhan 58 set berada dalam keadaan boleh digunakan sepenuhnya untuk operasi.

Keadaan ini tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai isu di bengkel. Setiap tren yang tidak tersedia memberi kesan terhadap kapasiti sebuah sistem pengangkutan awam yang digunakan rakyat setiap hari. Apabila jumlah tren yang boleh beroperasi semakin berkurang, tekanan terhadap tren yang masih digunakan turut meningkat. Sebab itu program baik pulih tidak boleh terus tersasar daripada jadual

MRT Corp kemudian menjelaskan bahawa tujuh set tren telah diserahkan kepada SMH Rail bagi proses baik pulih, manakala baki 51 set masih berada di bawah kawalan operasi Rapid Rail. Empat daripada tujuh set berkenaan pula dijangka dikembalikan kepada Rapid Rail pada Disember 2026.

Penjelasan itu penting, namun ia belum menjawab persoalan utama. Jika kontrak bermula pada Julai 2024 dan empat daripada tujuh tren yang sedang menjalani kerja hanya dijangka kembali pada Disember 2026, adakah kadar kemajuan tersebut benar benar selari dengan jadual asal kontrak.

Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan juga perlu menjelaskan berapa banyak tren yang sepatutnya telah disiapkan setakat ini berdasarkan perancangan awal. Rakyat perlu mengetahui apakah sasaran kerja bagi 2024, 2025 dan 2026 serta peringkat pencapaian kerja apakah yang telah membolehkan bayaran berperingkat dilepaskan.

Jika sasaran asal tidak dapat dicapai sehingga dua lanjutan masa diperlukan, maka penjelasan perlu diberikan sama ada kelewatan berpunca daripada masalah kontraktor, kekangan teknikal, bekalan alat ganti, kelemahan perancangan atau gabungan beberapa faktor tersebut.

Isu alat ganti membuka satu lagi persoalan penting. MRT Corp dilaporkan memaklumkan bahawa ratusan alat ganti telah diterima dan bayaran separa dibuat terhadap komponen yang diterima. Pada masa sama, sebahagian alat ganti hanya dijangka tiba pada 2027, manakala beberapa komponen pula berdepan isu keusangan dengan model gantian hanya dijangka tersedia kemudian.

Jika tempoh menunggu alat ganti serta risiko komponen menjadi usang merupakan perkara yang boleh dijangka dalam industri rel, kerajaan perlu menjelaskan sejauh mana risiko tersebut telah dinilai sebelum kontrak hampir RM600 juta itu dianugerahkan.

Program MRO bukan sekadar menghantar tren ke bengkel dan menunggu ia kembali. Ia sepatutnya merangkumi perancangan alat ganti, kesiapsiagaan tenaga kerja, jadual pemulihan setiap set tren, pengurusan risiko teknikal, keusangan komponen serta kesannya terhadap jumlah tren yang tersedia untuk operasi.

Semakin lama sesebuah tren tidak kembali ke landasan, semakin besar tekanan terhadap armada yang masih perlu membawa penumpang setiap hari.

Anthony Loke perlu menjawab bukan kerana setiap masalah teknikal bermula di meja Menteri Pengangkutan. Akauntabiliti terhadap sebuah sistem pengangkutan awam bernilai besar tetap berada di bawah kementerian yang dipimpinnya dan rakyat berhak mengetahui bagaimana wang awam serta aset pengangkutan negara diuruskan.

Dalam kontrak hampir RM600 juta, kerajaan tidak boleh hanya mengukur kemajuan melalui dokumen, invois dan lanjutan masa. Rakyat mengukurnya melalui sesuatu yang jauh lebih mudah iaitu berapa banyak tren yang benar benar telah kembali ke landasan.

Sebab itu jawapan yang diperlukan tidak rumit. Kerajaan perlu menyatakan secara terbuka berapa banyak daripada hampir RM600 juta sudah dibayar, peringkat pencapaian kerja apa yang telah disahkan sehingga pembayaran boleh dilepaskan, berapa tren sepatutnya sudah siap mengikut jadual asal, mengapa dua lanjutan masa diberikan, apakah tindakan terhadap kelewatan dan bilakah tujuh tren yang dihantar untuk dibaik pulih benar benar akan kembali beroperasi.

Kontrak MRO diwujudkan untuk memastikan tren selamat, boleh dipercayai dan tersedia kepada rakyat. Ukuran kejayaannya bukan berapa banyak mesyuarat diadakan, berapa banyak lanjutan masa diluluskan atau berapa banyak bayaran telah dilepaskan.

Bayaran dibuat berdasarkan peringkat pencapaian kerja. Apabila wang sudah mula dibayar, rakyat berhak melihat hasilnya.

Bagi kontrak baik pulih tren hampir RM600 juta, hasil itu sepatutnya bukan berada di atas kertas.

Hasil itu sepatutnya berada di landasan.


Previous Post Next Post

نموذج الاتصال