Jawapan kepada perkara itu mungkin tidak lagi mudah disembunyikan sekiranya Rang Undang-Undang Pendanaan Politik yang sedang dirangka kerajaan akhirnya diluluskan.
Antara cadangan terpenting yang sedang diperhalusi ialah kawal selia terhadap dana asing, termasuk wang yang tidak disalurkan secara langsung kepada parti politik tetapi melalui pertubuhan bukan kerajaan, individu, syarikat atau mana-mana pihak ketiga.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), YB Dato’ Sri Azalina Othman Said berkata skop undang-undang yang dicadangkan itu bukan sekadar tertumpu kepada tempoh kempen pilihan raya, sebaliknya merangkumi keseluruhan kitaran politik sebelum, semasa dan selepas pilihan raya serta terpakai di peringkat Persekutuan dan negeri.
Pendekatan ini penting kerana pendanaan politik tidak hanya berlaku apabila bendera parti dinaikkan atau calon mula berkempen. Aliran wang boleh bermula jauh lebih awal melalui sumbangan, program, organisasi sokongan, pihak ketiga atau bentuk pembiayaan lain yang akhirnya memberi manfaat kepada parti dan calon tertentu.
Atas sebab itu, cadangan RUU berkenaan mahu memastikan penerimaan dan penggunaan dana politik melalui saluran rasmi yang boleh direkodkan, dijejaki dan diaudit.
Jika kerangka itu dimuktamadkan sebagaimana dicadangkan, parti politik bukan sahaja perlu mengetahui daripada siapa wang diterima, malah mempunyai tanggungjawab memastikan terdapat rekod yang membolehkan sumber dan penggunaannya diperiksa.
Ia termasuk cadangan mewajibkan pelaporan secara berkala, pengemukaan laporan kewangan yang diaudit setiap tahun serta pendedahan maklumat tertentu berkaitan pendanaan politik kepada orang awam. Butiran serta parameter sebenar masih sedang diperhalusi sebelum dimuktamadkan dalam proses penggubalan.
Ini menjadikan RUU Pendanaan Politik jauh lebih besar daripada sekadar soal meletakkan had terhadap sumbangan.
Tumpuan sebenar ialah sama ada sistem baharu itu mampu menutup ruang kepada wang politik bergerak melalui pintu belakang.
Dana asing misalnya tidak semestinya memasuki akaun sesebuah parti secara langsung. Wang boleh bergerak melalui organisasi lain, pihak ketiga atau struktur tertentu sebelum digunakan untuk program, kempen atau aktiviti yang memberi manfaat politik kepada penerima akhirnya.
Sebab itulah kawal selia pihak ketiga menjadi antara komponen penting yang sedang dipertimbangkan kerajaan. Jika dana yang sampai melalui pihak ketiga tertakluk kepada standard ketelusan sama seperti sumbangan terus kepada parti, ruang untuk menyembunyikan identiti sebenar penyumbang atau asal sesuatu pembiayaan akan menjadi jauh lebih sempit.
Dato’ Sri Azalina menjelaskan perkara itu menerusi jawapan di Parlimen terhadap Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad, yang mahu mengetahui mekanisme kerajaan bagi menghalang dana asing disalurkan melalui NGO atau pihak ketiga untuk membiayai kempen serta aktiviti politik yang memanfaatkan parti atau calon tertentu.
Idris turut meminta penjelasan sama ada pendedahan sumber dana dan perbelanjaan politik akan diwajibkan menerusi undang-undang baharu tersebut.
Jawapan kerajaan memberi gambaran bahawa pendekatan yang sedang dibentuk bergerak ke arah satu prinsip yang jelas. Wang politik perlu mempunyai jejak.
Ia perlu boleh direkodkan, dijejaki dan diaudit.
Syor dasar yang telah dikenal pasti akan dibawa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Berkaitan Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi untuk penelitian serta mendapatkan maklum balas lanjut sebelum dimuktamadkan bagi pertimbangan Jemaah Menteri.
Kerajaan juga mempunyai asas sokongan awam yang agak besar untuk meneruskan reformasi tersebut. Berdasarkan dapatan yang dibentangkan sempena Konvensyen Pendanaan Politik 2026 pada 8 September lalu, sebanyak 88.4 peratus daripada 3,422 responden menyokong keperluan mewujudkan undang-undang khusus berkaitan pendanaan politik.
Proses libat urus pula melibatkan 1,544 pihak berkepentingan merangkumi pelbagai sektor. Konvensyen berkenaan dilaksanakan dengan penglibatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Institute for Democracy and Economic Affairs.
Pada September lalu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri turut diarahkan mendapatkan pendirian rasmi secara bertulis daripada 72 parti politik di Malaysia sebelum cadangan RUU tersebut dibawa ke peringkat seterusnya.
Langkah mendapatkan pendirian rasmi itu penting kerana parti politik akhirnya merupakan antara pihak utama yang akan tertakluk kepada undang-undang berkenaan. Reformasi pendanaan politik tidak boleh hanya cantik di atas kertas. Ia perlu praktikal, adil dan pada masa sama cukup tegas untuk menghalang rasuah, konflik kepentingan serta pengaruh luar yang tidak sepatutnya mencorakkan perjalanan demokrasi negara.
Malaysia sendiri mempunyai sejarah panjang perdebatan mengenai sumbangan politik dan dana dari luar negara. Antara episod paling besar ialah kontroversi RM2.6 bilion yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan penjelasan bahawa wang tersebut merupakan sumbangan dari Arab Saudi, suatu naratif yang kemudiannya menjadi antara isu yang dipertikaikan dalam prosiding mahkamah.
Pengalaman seperti itu menunjukkan mengapa negara memerlukan satu sistem yang tidak lagi bergantung kepada penjelasan selepas kontroversi tercetus.
Undang-undang sepatutnya membolehkan aliran dana dikenal pasti lebih awal.
Siapa yang memberikan wang, berapa jumlahnya, dari mana sumber itu datang, melalui saluran siapa ia bergerak, siapa penerima akhirnya dan untuk tujuan apa wang tersebut digunakan perlu dapat dikesan melalui satu mekanisme yang jelas.
Jika RUU Pendanaan Politik berjaya mewujudkan tahap ketelusan sedemikian, ia berpotensi menjadi antara reformasi institusi paling penting dalam sistem politik Malaysia.
Kerana pada akhirnya, demokrasi bukan hanya tentang siapa yang mendapat undi.
Ia juga tentang siapa yang membiayai politik dan sejauh mana wang itu mampu membeli pengaruh.
Tags
Berita

