BESUT: Bekas jurutera teknologi maklumat (IT) didenda RM18,000 atau 18 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan menggunakan kad pengenalan palsu.
Aman Rasid, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurliyana Md Zukri.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menggunakan kad pengenalan milik individu lain di stesen minyak di Alor Lintang, kira-kira jam 11.33 pagi pada 1 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa melakukan kesalahan sama kira-kira jam 7.25 malam pada 2 Jun serta jam 6.07 petang pada 15 Jun lalu di stesen minyak di Kampung Raja.
Aman didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM 20,000 atau kedua-duanya sekali setiap satu pertuduhan, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun pemilik sebenar tidak mempunyai akaun TNG eWallet sebelum membuat laporan polis kad pengenalan miliknya digunakan individu tidak dikenali untuk urusan pembelian minyak itu tanpa pengetahuannya.
Nurliyana ketika menjatuhkan hukuman berkata, tindakan tertuduh menyusahkan ramai pihak terutamanya pengadu dan turut menjejaskan penerima BUDI95 yang lain.
"Kamu menggunakan kad pengenalan orang lain untuk tujuan itu sebanyak tiga kali pada masa yang berbeza," katanya.
Nurliyana kemudiannya menetapkan denda RM6,000 atau enam bulan penjara bagi setiap pertuduhan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Najah Azhar, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Fazilah Abd Rahim.
Sumber.
Tags
Jenayah

