Malaysia Hot

Hina Agong di Facebook, pengawal keselamatan dipenjara lapan bulan, denda RM50,000


KUCHING: Seorang pengawal keselamatan dipenjara lapan bulan dan didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah membuat hantaran jelik di Facebook yang menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Hakim Iris Awen Jon menjatuhkan hukuman itu terhadap Raden Mohamad Norhakim, 46, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Selain itu, tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan telefon bimbit yang digunakan untuk melakukan kesalahan itu dilucut hak kepada kerajaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik menggunakan akaun Facebook atas nama 'Raden Mohamad Norhakim'.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kondominium berhampiran Lorong Lapangan Terbang, di sini, kira-kira jam 7.27 pagi pada 12 Februari tahun lalu.


Malah, hantaran itu turut mengandungi ungkapan berbaur penghinaan terhadap pemimpin negara.

Kandungan berkenaan dikesan pada hari sama oleh Penolong Pengarah Jabatan Moderasi Kandungan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang bertugas di Cyberjaya.

Susulan itu, siasatan lanjut dijalankan sebelum sepasukan pegawai MCMC melakukan serbuan ke atas tertuduh pada 17 Jun lalu.

Hasil pemeriksaan mendapati akaun Facebook milik tertuduh masih aktif dalam telefon bimbit yang digunakan.

Pegawai penyiasat turut berjaya mendapatkan semula hantaran yang menjadi bahan bukti dalam kes berkenaan.

Ketika prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringankan.

Dia mendakwa tindakannya itu berpunca daripada pengaruh perbincangan serta komen yang dibaca di media sosial.

Sumber.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال