Sejak kebelakangan ini, semakin jelas kedengaran naratif mengenai penyatuan semula Melayu-Islam antara UMNO dan PAS. Apa yang dahulunya hanya dianggap spekulasi kini mula disahkan sendiri oleh pimpinan tertinggi kedua-dua parti.
Lebih menarik, perbincangan tersebut muncul ketika tumpuan politik semakin terarah kepada kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Negeri Sembilan dan Melaka. Ketiga-tiga negeri ini mempunyai komposisi pengundi Melayu yang besar dan sering menjadi medan penting dalam menentukan arah aliran politik nasional.
Persoalannya, adakah PAS sedang meminang UMNO sekali lagi?
Jawapannya ada di sini:
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri mengakui bahawa telah berlaku pertemuan antara wakil PAS dan UMNO. Pengakuan tersebut menamatkan pelbagai spekulasi bahawa hubungan antara kedua-dua parti telah terputus sepenuhnya selepas keruntuhan Muafakat Nasional.
Pengakuan itu kemudiannya disusuli oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut mengesahkan kewujudan saluran komunikasi antara kedua-dua parti. Ini bermakna kedua-dua pihak bukan sahaja bercakap mengenai perpaduan Melayu-Islam di pentas ceramah, malah dialog politik itu benar-benar sedang berlangsung.
Namun, bagi UMNO, persoalan utama bukan lagi soal penyatuan semata-mata. Paksi kepada sebarang kerjasama adalah keikhlasan dan kepercayaan.
Pengalaman lalu menjadi pengajaran paling besar kepada UMNO dan BN.
Ketika Muafakat Nasional diwujudkan pada tahun 2019, ramai melihatnya sebagai platform penyatuan politik Melayu-Islam yang berjaya merapatkan dua parti terbesar orang Melayu selepas bertahun-tahun bermusuhan. Formula tersebut diterima baik oleh akar umbi dan dianggap sebagai model baharu yang mampu menyatukan kekuatan politik Melayu dalam menghadapi cabaran semasa.
Namun, harapan itu tidak bertahan lama.
Ketika UMNO berusaha memperkukuhkan Muafakat Nasional sebagai wadah utama politik Melayu-Islam, PAS memilih untuk menyertai Perikatan Nasional bersama Bersatu. Keputusan itu menjadi titik perubahan yang meruntuhkan keyakinan UMNO terhadap rakan politiknya.
Apa yang lebih mengecewakan ialah penyertaan PAS ke dalam Perikatan Nasional berlaku selepas pelbagai jaminan diberikan bahawa Muafakat Nasional akan terus menjadi platform utama kerjasama antara kedua-dua parti. Akhirnya UMNO mendapati dirinya berada dalam sebuah hubungan politik yang tidak lagi mempunyai kejelasan arah apabila PAS memilih untuk berada dalam dua pakatan politik pada masa yang sama.
Dari perspektif UMNO, di sinilah bermulanya krisis kepercayaan yang membawa kepada keretakan hubungan kedua-dua parti.
Sebab itu apabila isu kerjasama UMNO-PAS kembali diperkatakan hari ini, fokus UMNO bukan lagi kepada slogan, sentimen atau jenama politik tertentu. Fokusnya adalah sama ada PAS benar-benar bersedia membina hubungan yang berteraskan kesetiaan politik, kejujuran dan komitmen yang jelas.
Atas sebab itulah UMNO dilihat tidak menutup pintu kepada sebarang bentuk kerjasama. Namun pada masa yang sama, UMNO secara tegas menolak usaha menghidupkan semula jenama Muafakat Nasional.
Bagi UMNO, masalah sebenar bukan terletak pada nama Muafakat Nasional itu sendiri. Masalahnya ialah kepercayaan yang telah rosak sepanjang perjalanan kerjasama tersebut.
Ringkasnya, UMNO boleh menerima kerjasama tanpa syarat yang membebankan tetapi UMNO tidak mahu mengulangi formula lama yang pernah berakhir dengan episod pengkhianatan politik.
Dalam konteks PRN Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, perkembangan ini menjadi semakin signifikan. PAS memahami bahawa pertandingan banyak penjuru hanya akan terus memecahkan undi Melayu dan membuka ruang kepada lawan untuk mendapat kelebihan. Sebab itu naratif penyatuan Melayu-Islam kembali diketengahkan secara agresif.
Namun, realiti politik hari ini jauh berbeza berbanding tahun 2019.
UMNO kini berada dalam kedudukan yang lebih berhati-hati. Parti itu tidak lagi melihat penyatuan sebagai matlamat yang boleh dicapai hanya melalui slogan atau retorik. Sebaliknya, penyatuan hanya boleh dibina melalui tindakan yang membuktikan keikhlasan dan kesetiaan kepada rakan politik. Dalam erti kata lain, UMNO tidak menutup pintu. Apatah lagi idea Rumah Bangsa yang mempunyai dasar buka pintu datang dari Presiden UMNO sendiri, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Satu perkara yang UMNO perlu awasi, PAS lemah dengan tawaran wang ringgit!
Justeru, apabila PAS sekali lagi menghulurkan isyarat penyatuan Melayu-Islam, persoalan yang sedang dinilai oleh UMNO bukan sama ada kerjasama itu perlu diwujudkan atau tidak.
Persoalan yang lebih besar ialah sama ada PAS benar-benar mahu membina hubungan politik yang baharu atau sekadar mahu menghidupkan semula formula lama yang pernah gagal.
Kerana dalam politik, luka akibat kekalahan boleh sembuh dengan masa tetapi luka akibat pengkhianatan memerlukan sesuatu yang lebih besar daripada sekadar kata-kata.
Ia memerlukan bukti.

.jpeg)