Penafian Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya mengubah keseluruhan arah pertelingkahan mengenai kontroversi yang melibatkan Datuk Onn Hafiz Ghazi dan FELDA.
Pengerusi Barisan Nasional itu menegaskan beliau tidak mempunyai sebab untuk mensabotaj Menteri Besar Johor tersebut. Dengan penjelasan itu, naratif yang cuba menggambarkan kononnya UMNO sedang menikam pemimpinnya sendiri adalah gagal sama sekali.
Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Masih ada pihak yang terus mengaitkan Zahid dengan insiden tersebut, sedangkan persoalan paling penting masih belum dijawab.
Siapa sebenarnya yang mempunyai kuasa untuk menghalang Onn Hafiz daripada menghadiri program bersama peneroka FELDA?
Selama beberapa hari, hiruk di media sosial dan kedai kopi di kawasan felda. Masing-masing membuat telahan dan tertumpu kepada individu tertentu. Nama Zahid disebut berulang kali. UMNO dijadikan sasaran. Pelbagai teori politik dikemukakan bagi menjelaskan apa yang berlaku. ‘Ceplos’ dan ‘Walaun’ seolah berpesta menyebar gambaran yang salah untuk membentuk persepsi.
Malangnya, semakin banyak teori dibina, semakin jauh perbahasan bergerak daripada fakta sebenar.
Fakta yang tidak boleh dipertikaikan ialah FELDA bukan berada di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.
FELDA juga bukan berada di bawah kawalan UMNO Johor.
FELDA berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Fakta ini penting kerana ia menentukan siapa yang mempunyai kuasa pentadbiran terhadap organisasi tersebut dan siapa yang berada dalam rantaian membuat keputusan apabila melibatkan program rasmi, urusan pengurusan dan pelaksanaan dasar.
Sebab itu penafian Zahid sebenarnya membawa kepada satu kesimpulan yang mudah.
Jika beliau tidak terlibat, perhatian sepatutnya beralih kepada pihak yang benar-benar mempunyai kuasa terhadap FELDA.
Anehnya, ada yang terus bercakap mengenai Zahid tetapi enggan bercakap mengenai siapa yang mengawal FELDA.
Lebih aneh, mereka sibuk mencari dalang dalam kalangan pihak yang tidak mempunyai kuasa pentadbiran ke atas FELDA, tetapi pada masa yang sama tidak berminat untuk membincangkan pihak yang mempunyai kuasa tersebut.
Persoalan ini menjadi lebih besar kerana insiden yang berlaku bukan melibatkan seorang pemimpin biasa.
Onn Hafiz ialah Menteri Besar Johor.
Beliau merupakan ketua kerajaan negeri yang dipilih untuk mentadbir Johor.
Apabila seorang Menteri Besar tidak dapat menghadiri program bersama peneroka FELDA di negerinya sendiri, rakyat berhak mengetahui bagaimana keputusan itu dibuat dan siapa yang meluluskannya.
Dalam mana-mana organisasi kerajaan, keputusan sebesar itu tidak berlaku secara kebetulan.
Ada prosedur.
Ada pegawai yang bertanggungjawab.
Ada rantaian arahan.
Ada pihak yang membuat keputusan.
Naratif Yang Masih Belum Dijawab
Semakin kuat pihak tertentu cuba membawa isu ini ke arah konflik dalaman UMNO, semakin besar persoalan yang mereka gagal jawab.
Jika benar UMNO menjadi dalang, bagaimana arahan itu boleh dilaksanakan dalam sebuah organisasi yang tidak berada di bawah kawalan UMNO Johor?
Jika benar Zahid menjadi puncanya, apakah kuasa operasi yang dimiliki beliau untuk menentukan siapa yang boleh atau tidak boleh menghadiri program FELDA?
Jika benar ada pihak mahu menuding jari kepada Barisan Nasional, mengapa sehingga hari ini tidak ada penjelasan yang jelas mengenai siapa yang membuat keputusan dalam struktur pentadbiran FELDA sendiri?
Persoalan-persoalan ini bukan soal politik semata-mata.
Ia soal akauntabiliti.
Ia soal ketelusan.
Ia soal tanggungjawab kepada lebih 100,000 warga peneroka yang berhak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.
Lebih lama jawapan tidak diberikan, lebih besar ruang untuk spekulasi berkembang.
Lebih lama pihak yang mempunyai kuasa memilih untuk berdiam diri, lebih ramai akan mula bertanya mengapa isu ini begitu sukar dijelaskan secara terbuka.
Hakikatnya, Ahmad Zahid sudah memberikan penjelasannya.
Fakta mengenai kedudukan FELDA di bawah Jabatan Perdana Menteri juga bukan rahsia.
Maka persoalan yang tinggal hari ini semakin mudah difahami oleh rakyat.
Jika bukan Zahid yang mengeluarkan arahan itu, siapakah yang melakukannya?
Jika bukan UMNO yang mengawal FELDA, mengapa UMNO yang terus dipersalahkan?
Dan yang paling penting, siapa sebenarnya yang begitu bimbang apabila Onn Hafiz turun sendiri bertemu dan mendengar suara peneroka FELDA?
Satu perkara yang menjadikan isu ini terus hidup ialah jawapan kepada persoalan tersebut masih belum diberikan. Dalam politik, kekosongan jawapan selalunya melahirkan lebih banyak persoalan daripada jawapan itu sendiri.
Peliknya nama Anwar bin Ibrahim yang mengetuai Jabatan Perdana Menteri tidak timbul.

