KLANG: Seorang pemandu e-hailing didenda RM101,750 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah mengimport barang larangan, iaitu 5,500 botol air zam-zam melalui Pelabuhan Barat, Klang, lima tahun lalu.
Majistret Mohd Hirman Ab Raub menjatuhkan hukuman itu terhadap Syed Fazillah Syed Assimie, 41, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah selepas meneliti keterangan kedua-dua pihak.
Syed Fazillah diperintah membayar denda itu yang bersamaan 10 kali ganda nilai barangan diimport dan sekiranya gagal, boleh dipenjara selama setahun.
Mahkamah turut memerintahkan dia membayar duti kastam sebanyak 20 peratus daripada nilai barangan berkenaan, berjumlah RM2,035 kepada Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengikut Seksyen 119A Akta Kastam 1967.
"Kesemua 5,500 botol air zam-zam yang menjadi barang kes dalam kes ini dilucuthakkan kepada pihak JKDM menurut Seksyen 127 Akta Kastam 1967," kata Mohd Hirman semasa membacakan keputusan pada akhir kes pembelaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 12 tengah hari pada 2 Jun 2021 di Gudang CFS2, Pelabuhan Barat, di sini.
Dia dituduh mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(i)(aa) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Dalam rayuan, peguam, Gabriel Susayan yang mewakili tertuduh memohon denda pada kadar munasabah dengan mengambil kira tertuduh bekerja sebagai pemandu e-hailing dan mempunyai pendapatan tidak menentu selain menanggung keluarga.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa JKDM, Shahrul Amin Shahrul Nizam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada orang ramai supaya mematuhi undang-undang berkait import air zam-zam dan barangan larangan lain.
Shahrul Amin berkata, kemasukan air zam-zam secara tidak sah boleh menyebabkan kerugian hasil cukai kepada negara, selain menjejaskan kawalan terhadap barangan yang dibawa masuk ke Malaysia.
Gabriel memohon penangguhan pelaksanaan hukuman denda sementara pihaknya memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi dan mahkamah membenarkan penangguhan itu dengan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh.
Sumber.
Tags
Jenayah

