Malaysia Hot

Mahkamah Jerman penjara 12 anggota sindiket 'Love Scam'


BERLIN: Mahkamah di Jerman menjatuhkan hukuman penjara terhadap 12 anggota sindiket jenayah terancang dari Nigeria kerana terbabit dalam penipuan cinta maya atau 'love scam' dalam talian dan aktiviti pengubahan wang haram.

Mahkamah di Munich itu memaklumkan, semua tertuduh yang berusia antara 34 hingga 55 tahun dijatuhi hukuman penjara antara tiga tahun empat bulan hingga lapan tahun enam bulan.

Mereka didapati bersalah kerana menjadi sebahagian daripada rangkaian jenayah antarabangsa yang menjalankan penipuan berunsur percintaan sebelum mengubah wang hasil kegiatan itu secara haram.

Sindiket berkenaan menggunakan identiti palsu, termasuk menyamar sebagai anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang kononnya bertugas di Asia Barat, bagi mendekati mangsa melalui platform media sosial atau aplikasi mencari pasangan.

Mangsa kemudian diperdaya sehingga mempercayai mereka menjalin hubungan peribadi dengan suspek sebelum diminta membuat pemindahan wang bagi menampung kos perubatan, perjalanan atau urusan kastam yang sebenarnya tidak wujud.

Wang yang diperoleh daripada penipuan itu kemudiannya disalurkan kepada sebuah pertubuhan dikenali sebagai 'Neo Black Movement of Africa', atau lebih dikenali sebagai 'Black Axe', yang berpangkalan di Nigeria tetapi aktif di peringkat antarabangsa.

Pada April 2024, polis Jerman melancarkan operasi besar-besaran yang membawa kepada penahanan anggota sindiket itu selepas siasatan dan pemantauan selama beberapa tahun dilakukan oleh agensi perisikan dalam negara.

Ketika operasi dijalankan, polis Bavaria memaklumkan bahawa terdapat banyak kes dipercayai tidak pernah dilaporkan kerana mangsa berasa malu selepas menyedari mereka telah dimanipulasi sehingga mengalami kerugian kewangan.

Sumber.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال