Ianya bukan lagi ‘isu panas’ tetapi sudah masuk kepada ‘skandal’ yang melibatkan wang pencen rakyat dan nilainya bukan kecil, RM200 juta.
Gambaran bahawa kerugian KWAP dalam eFishery hanyalah risiko biasa dalam pelaburan adalah tidak tepat. Memang benar setiap pelaburan mempunyai risiko dan tidak semuanya memberikan keuntungan. Namun, kes eFishery bukan sekadar perniagaan yang gagal akibat pasaran lemah, strategi yang salah atau produk yang tidak mendapat sambutan.
Dalam kes ini, pelabur dipercayai membuat keputusan berdasarkan laporan kewangan yang telah dimanipulasi. Syarikat itu dilaporkan menunjukkan angka pendapatan dan keuntungan yang jauh lebih tinggi daripada keadaan sebenar. Apabila prestasi kewangan dipalsukan untuk meyakinkan pelabur supaya memasukkan wang, perkara itu bukan lagi risiko biasa perniagaan. Ia mempunyai unsur penipuan korporat.
Mudahnya, sekiranya tiada penipuan, wang pencen tersebut tidak akan disalurkan berdasarkan gambaran kewangan yang palsu. KWAP mungkin masih boleh mengalami kerugian jika perniagaan eFishery benar-benar gagal selepas pelaburan dibuat. Namun, dalam keadaan ini, keputusan pelaburan dipercayai dibuat kerana pelabur diberikan maklumat yang tidak benar mengenai kedudukan sebenar syarikat.
Laporan mengenai eFishery menunjukkan syarikat itu pernah menggambarkan dirinya sebagai perniagaan yang berkembang dan menguntungkan. Siasatan kemudiannya menemukan perbezaan besar antara angka yang ditunjukkan kepada pelabur dengan prestasi sebenar. Pendapatan dilaporkan jauh lebih tinggi, manakala kerugian sebenar digambarkan sebagai keuntungan. Perbezaan sebesar itu sukar dianggap sebagai kesilapan biasa dalam menyediakan akaun.
Kes ini turut melibatkan tindakan terhadap beberapa pegawai kanan syarikat. Terdapat sabitan berkaitan pecah amanah dan pengubahan wang haram terhadap individu yang pernah memegang jawatan penting dalam eFishery. Keadaan ini menunjukkan bahawa masalah tersebut bukan hanya berpunca daripada seorang pekerja bawahan atau satu kesilapan teknikal.
Corak yang berlaku mempunyai ciri-ciri penipuan korporat yang terancang. Antaranya ialah penyediaan laporan kewangan yang mengelirukan, penyampaian maklumat palsu kepada pelabur, penggunaan kedudukan pegawai kanan serta kemungkinan penyelarasan antara beberapa individu. Sama ada ia memenuhi takrif undang-undang sebagai “jenayah terancang” perlu diputuskan oleh pihak berkuasa dan mahkamah. Namun, berdasarkan coraknya, ia jelas lebih serius daripada kegagalan pelaburan biasa.
Fakta bahawa banyak pelabur besar dari beberapa negara turut terpedaya tidak bermakna tiada pihak perlu bertanggungjawab. Ia hanya menunjukkan bahawa penipuan tersebut mungkin dirancang dengan begitu meyakinkan sehingga berjaya melepasi pemeriksaan banyak institusi. Namun, KWAP tetap perlu menjelaskan bagaimana pelaburan sebesar itu diluluskan dan apakah pemeriksaan bebas yang telah dilakukan.
KWAP juga perlu menjawab sama ada pihaknya menyemak pelanggan sebenar eFishery, aliran tunai, jualan, akaun bank dan operasi fizikal syarikat. Bergantung semata-mata pada laporan pengurusan, penyata kewangan atau nama juruaudit tidak mencukupi apabila melibatkan dana pencen rakyat dalam jumlah yang besar.
Menjadi mangsa penipuan tidak semestinya bermaksud pegawai KWAP melakukan jenayah. Namun, status sebagai mangsa tidak boleh digunakan untuk menutup kemungkinan berlakunya kecuaian, kelemahan tadbir urus atau kegagalan membuat pemeriksaan yang mencukupi. Siasatan perlu menentukan sama ada semua prosedur dipatuhi dan sama ada terdapat tanda amaran yang tidak diberi perhatian. BACA juga di SINI.
Perkara utama yang perlu difahami ialah wang pencen rakyat tidak hilang hanya kerana perniagaan itu kurang berjaya. Wang tersebut terdedah kepada kerugian selepas pelaburan dibuat berdasarkan maklumat yang didakwa telah dimanipulasi. Itulah perbezaan besar antara pelaburan yang gagal dengan pelaburan yang diperoleh melalui penipuan.
Jadi, eFishery tidak wajar digambarkan sebagai satu lagi pelaburan yang “tidak menjadi”. Kes ini mempunyai unsur laporan kewangan palsu, pecah amanah, pengubahan wang haram dan kemungkinan tindakan yang disusun untuk memperdayakan pelabur. KWAP mungkin mangsa, tetapi rakyat dan pesara juga menjadi mangsa apabila wang yang diurus bagi menjamin masa depan mereka terancam.
Mangsa penipuan tetap perlu dilindungi tetapi pengurus dana pencen rakyat tetap wajib menjawab bagaimana wang itu boleh terlepas dan siapa yang akan bertanggungjawab memulihkannya.
Jika pengasasnya dijatuhkan hukuman penjara di Indonesia, ianya bukan lagi isu tetapi telah menjadi skandal penipuan terancang. Di Malaysia, siapa yang mula ‘memperlihatkan’ bahawa projek ini begitu hebat dengan keuntungan yang melaba? Itulah orangnya yang sepatut menjadi individu pertama diheret untuk disiasat.

