Malaysia Hot

Hentikan Segera Mempolitikkan Tabung Haji


Tabung Haji bukan sekadar sebuah institusi kewangan. Di dalamnya tersimpan wang yang dikumpulkan sedikit demi sedikit, kadangkala sepanjang hayat oleh jutaan umat Islam dengan satu niat yang suci iaitu untuk menjadi tetamu Allah. Sebab itu, dakwaan tentang kerugian besar, manipulasi kewangan, penyembunyian maklumat, campur tangan politik atau salah guna kuasa tidak boleh dilayan sebagai pertarungan naratif antara parti. Ini soal amanah yang mesti dijawab dengan fakta, bukti dan pertanggungjawaban.

The Edge Malaysia melaporkan Pada 2018, lembaga baharu Tabung Haji melantik PricewaterhouseCoopers (PwC) untuk menyemak semula kedudukan dan prestasi kewangannya. Antara November 2018 hingga Januari 2019, empat laporan polis dibuat, manakala enam perkara dirujuk kepada SPRM melibatkan dakwaan seperti salah nyata, penyembunyian maklumat, rasuah, salah guna kuasa, pemalsuan dan manipulasi laporan pelaburan. Namun menurut laporan RCI yang kemudiannya didedahkan, laporan-laporan tersebut tidak menghasilkan pertuduhan di mahkamah pada ketika itu.

Pada 2021, kerajaan mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja. Menurut Bernama, ahli-ahlinya dilantik pada 20 Januari 2022 dan laporan akhir dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022. Namun laporan itu hanya didedahkan kepada umum pada 29 Julai 2026, hampir empat tahun selepas ia disiapkan. Pada 11 Ogos 2026, Mesyuarat Khas Dewan Rakyat diadakan untuk membahaskan laporan tersebut, yang mengandungi 25 syor penambahbaikan berkaitan pengurusan dan operasi Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Maknanya, sudah lapan tahun berlalu sejak semakan PwC pada 2018. Dalam tempoh itu, negara telah melalui semakan kewangan, laporan kepada pihak berkuasa, siasatan penguatkuasaan, sebuah RCI, pendedahan laporan dan sidang khas Parlimen. Negara tidak kekurangan proses. Yang masih ditunggu ialah Kesimpulan dan apa tindakan kerajaan.

Satu fakta penting perlu diperbetulkan. Angka 14 tidak bermaksud 14 audit forensik telah selesai. RCI sebenarnya mengenal pasti 14 pelaburan bermasalah dan mengesyorkan audit forensik bagi meneliti bagaimana keputusan pelaburan tersebut dibuat sehingga menyebabkan kemerosotan nilai aset yang teruk. Kerajaan pula menjelaskan bahawa Tabung Haji telah melantik Ernst & Young serta beberapa firma guaman untuk melaksanakan analisis jurang dan mencadangkan penambahbaikan. Itu tidak sama dengan mengatakan bahawa 14 laporan audit forensik lengkap telah disiapkan dan dibentangkan kepada rakyat.

Kerajaan perlu menjelaskan berapa banyak audit yang telah diselesaikan, firma yang menjalankannya, dapatan bagi setiap pelaburan dan sama ada laporan tersebut akan didedahkan. Perbezaan ini penting kerana ia memisahkan syor yang dibuat daripada siasatan yang benar-benar selesai.

Menteri Kewangan II turut dilaporkan menyatakan bahawa 14 pelaburan bermasalah itu melibatkan kerugian hampir RM13 bilion, dengan tujuh daripadanya mengalami kerugian 100 peratus. Angka itu sangat besar tetapi kerugian tidak semestinya bermaksud wang telah dicuri. Kerugian boleh berpunca daripada keputusan pelaburan yang buruk, kejatuhan nilai pasaran, rosot nilai aset, kecuaian, konflik kepentingan, penipuan atau penyelewengan. Setiap punca membawa implikasi undang-undang yang berbeza.

Rakyat berhak mengetahui pecahan sebenar jumlah tersebut. Berapa kerugian komersial dan rosot nilai? Berapa kos penyelamatan yang ditanggung kerajaan? Berapa yang berpunca daripada kecuaian atau pelanggaran kewajipan fidusiari? Berapa pula, jika ada, yang benar-benar diseleweng? Semua angka itu tidak boleh dihimpunkan di bawah satu label lalu dipersembahkan seolah-olah keseluruhannya merupakan wang yang dicuri.

Jika istilah “sakau” mahu terus digunakan, ia mesti disertai bukti. Berapa jumlah yang diambil? Wang itu masuk ke akaun siapa, dipindahkan ke mana dan digunakan untuk membeli apa? Siapakah penerima manfaat, proksi atau syarikat perantara? Tanpa jawapan kepada persoalan tersebut, “sakau” kekal sebagai tuduhan politik, bukan kes yang telah dibuktikan.

Setakat 14 Ogos 2026, SPRM dilaporkan telah membuka 14 kertas siasatan, memeriksa atau menggeledah 28 premis, merakam keterangan 115 saksi serta menahan tujuh suspek, dengan lima daripadanya direman. Laporan dari Bernama menunjukkan ini perkembangan penting tetapi tangkapan bukan bukti bersalah, reman bukan pertuduhan dan laporan RCI bukan kertas pertuduhan. Dapatan RCI masih perlu disokong oleh bukti yang boleh diterima di mahkamah.

Selepas lapan tahun, rakyat berhak mengetahui siapakah yang mencadangkan, menyokong dan meluluskan setiap pelaburan bermasalah, sama ada penyata, kertas lembaga atau laporan pelaburan telah dimanipulasi, siapa yang mengarahkannya, serta siapa yang mendapat manfaat. Kerajaan juga perlu menjelaskan status laporan terdahulu, mengapa ia tidak menghasilkan pertuduhan dan bilakah kertas siasatan semasa akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Tiada sesiapa patut dihukum melalui persepsi tetapi tiada sesiapa juga patut dilindungi oleh kesunyian institusi. Jika terdapat bukti jenayah, dakwa mereka yang bertanggungjawab tanpa mengira pangkat, pengaruh atau parti. Tunjukkan aliran wang dan biarkan bukti diuji di mahkamah. Jika kesalahan bersifat sivil atau melibatkan pelanggaran kewajipan fidusiari, ambil tindakan untuk mendapatkan semula wang dan aset yang hilang. Jika tiada bukti mencukupi, nyatakan secara terbuka dan hentikan tuduhan.

Tabung Haji dibina atas amanah umat Islam yang menyimpan ringgit demi ringgit untuk menyahut panggilan ke Tanah Suci. Kini negara mesti menyahut panggilan kepada kebenaran dan keadilan. Pertanggungjawaban tanpa nama hanyalah slogan, kerugian tanpa pecahan hanyalah angka dan siasatan tanpa kesudahan akhirnya menjadi arkib. Amanah hanya akan pulih apabila kebenaran mempunyai nama, jumlah, aliran wang dan keputusan undang-undang.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال