Kenyataan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah
Saya bukan pengulas luar yang baru mahu memahami perjalanan kewangan negara selepas segala-galanya berlaku. Saya pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan dari 2012 hingga 2018.
Saya juga pernah menganggotai Lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia dan Financial Stability Executive Committee BNM. Kedudukan itu memberikan saya pengalaman langsung dalam pengurusan fiskal negara, tadbir urus badan berkanun dan perbincangan mengenai kestabilan sistem kewangan.
Pengalaman tersebut tidak bermakna pandangan saya mesti diterima tanpa soal, namun hujah ini wajar dijawab dengan rekod dan angka, bukan persepsi politik. Rekod jawatan tersebut boleh dirujuk melalui Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia.
Jika Lembaga Tabung Haji(TH) benar-benar insolven pada tahun 2017, satu perkara asas perlu dibuktikan. Institusi itu tidak mampu membayar hutang dan memenuhi tanggungannya apabila tiba tempoh. Bukti tersebut tidak boleh digantikan dengan hanya memilih satu angka daripada penyata kewangan.
Angka yang paling kerap digunakan ialah aset bersih negatif RM1.26 bilion pada peringkat entiti TH. Angka itu tidak saya nafikan. Yang saya pertikaikan ialah tindakan melompat daripada “aset bersih negatif pada peringkat entiti” kepada kesimpulan bahawa “seluruh LTH telah insolven”. Jadual perbandingan bagi 2017 yang dipaparkan dalam Laporan Tahunan TH 2021 menunjukkan pada tahun yang sama, aset bersih Kumpulan TH masih positif sebanyak RM971 juta.
Inilah fakta yang sering tidak diberikan perhatian. Satu angka menunjukkan kedudukan entiti TH, manakala satu lagi menunjukkan kedudukan keseluruhan Kumpulan TH. Kedua-duanya perlu dibaca bersama sebelum sebarang keputusan dibuat terhadap institusi tersebut.
Dalam penilaian kewangan, aset bersih negatif tidak secara automatik membuktikan ketidakmampuan membayar hutang. Insolvensi perlu dinilai bersama kedudukan aliran tunai, tarikh matang liabiliti, kemampuan memenuhi tuntutan pendeposit dan kekuatan keseluruhan kumpulan. Rekod kewangan 2017 tidak menggambarkan sebuah institusi yang telah berhenti berfungsi atau gagal menjalankan tanggungjawabnya.
Kumpulan TH pada 2017 merekodkan pendapatan RM8.359 bilion, keuntungan operasi RM3.703 bilion dan keuntungan bersih RM3.399 bilion. Pada peringkat TH pula, keuntungan bersih direkodkan sebanyak RM3.404 bilion. Simpanan pendeposit berjumlah RM70.199 bilion dengan 9.27 juta pendeposit.
Jika TH benar-benar tidak mampu memenuhi tanggungannya, tunjukkan bukti bahawa institusi itu telah gagal membayar tuntutan pendeposit atau gagal melunaskan hutang yang tiba tempoh pada tahun 2017. Menunjukkan aset bersih negatif RM1.26 bilion sahaja tidak menjawab persoalan tersebut.
Kekeliruan bertambah apabila dua pendekatan penilaian berbeza dibandingkan seolah-olah kedua-duanya menggunakan ukuran yang sama. Penyata kewangan TH yang diaudit oleh Jabatan Audit Negara dibuat berdasarkan piawaian dan asas penilaian yang terpakai ketika itu, termasuk MFRS 139 serta penilaian berdasarkan nilai aset yang boleh direalisasikan. Semakan selepas itu memberi penekanan lebih besar kepada nilai pasaran pada tarikh tertentu.
Apabila harga saham jatuh, nilai pasaran aset turut merosot walaupun aset tersebut belum dijual, masih dimiliki dan berpotensi kembali pulih. Perbezaan kaedah boleh menghasilkan keputusan yang sangat berlainan. Satu pendekatan boleh menunjukkan aset bersih positif, manakala pendekatan lain menunjukkan aset bersih negatif. Perbezaan itu ialah isu penilaian dan perakaunan yang perlu diterangkan secara profesional. Ia tidak boleh terus ditukar menjadi keputusan muktamad bahawa TH telah insolven.
Rekod audit rasmi juga tidak boleh dipadamkan daripada sejarah. Di bawah Seksyen 26 Akta Tabung Haji 1995, peruntukan Akta Badan Berkanun mengenai akaun dan laporan tahunan terpakai kepada TH. Ketua Audit Negara merupakan juruaudit statutori institusi tersebut. Penyata kewangan TH bagi tahun 2017 telah diaudit dan menerima kenyataan bersih daripada Ketua Audit Negara. Rekod yang saya bentangkan turut menunjukkan audit pro forma telah dilakukan oleh Ernst & Young sebelum hibah 2017 diumumkan.
Sijil audit bersih tidak bermaksud setiap pelaburan TH adalah sempurna. Ia juga bukan jaminan bahawa tiada kelemahan dalam tadbir urus, pengurusan risiko atau keputusan pelaburan. Pada masa yang sama, penilaian baharu yang dibuat selepas pertukaran kerajaan tidak boleh digunakan untuk menghapuskan begitu sahaja rekod audit rasmi sebelumnya.
Bank Negara Malaysia juga bukan langsung tidak mengetahui perkembangan TH. Financial Stability Executive Committee BNM pada 26 Januari 2016 menyatakan TH telah mengambil langkah proaktif untuk memperkukuh amalan pengurusan risiko, termasuk tindakan susulan daripada perbincangan dengan BNM. Kenyataan itu tidak membuktikan TH bebas daripada masalah. Ia membuktikan bahawa pemantauan, perbincangan dan langkah pembaikan telah berlangsung sebelum 2018.
Saya tidak meminta sebarang kelemahan disembunyikan. Jika terdapat kecuaian, salah guna kuasa atau pelanggaran undang-undang, siasat dan ambil tindakan berdasarkan bukti. Pemeriksaan tersebut juga tidak boleh dihentikan pada 2017 seolah-olah segala keputusan selepas itu tidak perlu dipersoalkan.
Aset TH bernilai RM9.7 bilion telah dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd. Sukuk bernilai berbilion ringgit diterbitkan sebagai balasan. Sebahagian besar bayaran yang sepatutnya diselesaikan pada 2026 pula dilanjutkan sehingga 2036. Jika matlamatnya mencari kebenaran, audit perlu meneliti keseluruhan perjalanan wang dan aset TH dari 2014 hingga 2026.
Atas angka dan rekod yang tersedia, pendirian saya jelas. LTH tidak insolven pada tahun 2017. Yang wujud ialah pertikaian mengenai kaedah penilaian, kualiti aset dan tadbir urus yang wajar diperiksa serta diperbetulkan.
Siasat semua keputusan dan semua era. Jangan jadikan perbezaan kaedah penilaian sebagai alasan untuk menghukum sejarah sebuah institusi umat Islam.

