Kertas cadangan mungkin lengkap, laporan lawatan tapak mungkin tersusun, minit mesyuarat mungkin sempurna dan auditor antarabangsa juga mungkin telah memberikan pengesahan. Namun akhirnya, pelaburan RM163.4 juta Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dalam eFishery terdedah kepada salah satu penipuan korporat terbesar dalam ekosistem syarikat pemula Asia Tenggara. Kini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sedang menyiasat bagaimana pelaburan itu dinilai, diluluskan dan dipantau.
Pasukan khas SPRM dibentuk pada 17 Julai 2026 sebelum pegawainya memasuki premis KWAP tiga hari kemudian. Setakat 22 Julai, keterangan 10 saksi terdiri daripada pegawai kanan KWAP dan Kementerian Kewangan yang terlibat dalam proses membuat keputusan pelaburan telah dirakam. Dokumen yang diteliti pula bukan bahan sampingan, tetapi merangkumi kertas cadangan awal dan akhir, laporan lawatan tapak, laporan usaha wajar atau due diligence, minit mesyuarat, tatacara pelaburan serta rekod kewangan KWAP.
SPRM turut mahu menelusuri aliran wang, menganalisis transaksi mencurigakan dan mendapatkan keterangan pihak di luar negara melalui bantuan perundangan antarabangsa. Siasatan meliputi kemungkinan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan, selain aspek tatakelola, pematuhan undang-undang serta proses membuat keputusan. Semua ini masih berada pada peringkat siasatan dan belum membuktikan mana-mana pegawai KWAP atau Kementerian Kewangan melakukan kesalahan. Prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya mesti terus dipelihara.
Namun kepentingan awam menuntut satu persoalan, bagaimana penipuan sebesar ini mampu melepasi begitu banyak lapisan kawalan?
KWAP menjelaskan bahawa jumlah sebenar pelaburannya ialah RM163.4 juta bagi pegangan kira-kira 2.51 peratus. Angka hampir RM200 juta yang disebut dalam beberapa laporan dipercayai berdasarkan nilai AS$47.7 juta ketika pelaburan dibuat. Dana tersebut memang terjejas tetapi usaha pemulihan masih berjalan.
Kementerian Kewangan menyifatkan KWAP sebagai mangsa penipuan terancang.
Pengurusan eFishery didapati memanipulasi laporan kewangan sehingga sebuah syarikat yang pernah diraikan sebagai jaguh teknologi akuakultur kelihatan jauh lebih kukuh daripada kedudukan sebenarnya. Pada 29 April 2026, pengasas bersama dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif eFishery, Gibran Huzaifah, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Negeri Bandung selepas disabitkan atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram.
KWAP bukan satu-satunya pelabur yang terperangkap. Pelaburan itu dibuat bersama institusi global seperti Temasek, SoftBank, Northstar dan 42XFund.
Namun penyertaan nama besar tidak boleh menggantikan pertimbangan bebas. Apabila semua pelabur melihat laporan yang sama, menggunakan andaian yang hampir serupa dan bergantung kepada pihak profesional yang sama, proses yang kelihatan berlapis mungkin sebenarnya hanya mengulangi kelemahan yang serupa.
Di sinilah istilah due diligence tidak boleh dijadikan perisai bahasa. Rakyat tidak cukup diyakinkan dengan penjelasan bahawa semua prosedur telah dipatuhi. Prosedur diwujudkan untuk menguji sesuatu pelaburan, bukan sekadar melengkapkan fail sebelum wang diluluskan.
Perbandingan dengan kontroversi Tabung Haji juga tidak dapat dielakkan. Apabila kerugian pelaburan Tabung Haji dibicarakan, perkataan seperti “sakau”, “rompak” dan “seleweng” begitu mudah dilemparkan sebelum kesalahan individu dibuktikan di mahkamah. Kini, apabila KWAP mengalami kerugian besar, penjelasan yang diketengahkan ialah institusi tersebut menjadi mangsa penipuan terancang walaupun telah melaksanakan due diligence.
Adakah hanya dalam kes KWAP kerugian dibenarkan ditakrifkan sebagai risiko pelaburan dan akibat ditipu, manakala kerugian Tabung Haji terus dianggap bukti wang telah “disakau”?
Piawaiannya mesti konsisten. Kerugian pelaburan, sama ada di KWAP atau Tabung Haji, tidak dengan sendirinya membuktikan rasuah, pecah amanah atau kecurian. Pelaburan boleh gagal akibat perubahan pasaran, andaian yang salah, maklumat palsu atau keputusan perniagaan yang lemah. Unsur jenayah hanya boleh dipastikan melalui bukti tentang niat, aliran wang, konflik kepentingan, penyembunyian maklumat atau penyalahgunaan kuasa.
Perbandingan yang adil bukanlah untuk mengatakan kedua-dua kes itu serupa sepenuhnya. Perbandingan itu perlu bagi memastikan KWAP tidak diberikan kekebalan naratif hanya kerana pelabur antarabangsa lain turut tertipu, dan Tabung Haji pula tidak dihukum secara pukal hanya kerana pelaburannya mencatat kerugian.
Jika kerugian Tabung Haji dianggap cukup serius untuk membuka semua fail, meneliti minit mesyuarat dan mengesan pihak yang membuat keputusan, piawaian sama mesti dikenakan terhadap KWAP. Sebaliknya, jika KWAP diberikan prinsip tidak bersalah sehingga bukti ditemukan, prinsip yang sama wajib diberikan kepada setiap individu yang dikaitkan dengan Tabung Haji.
Siasatan eFishery mesti menentukan sama ada maklumat penting telah disembunyikan, petunjuk risiko terlepas pandang atau pemantauan selepas pelaburan gagal mengesan kejanggalan lebih awal. Ia juga perlu menjelaskan siapa yang mengesyorkan pelaburan, siapa yang meluluskannya dan apakah tindakan yang diambil apabila tanda amaran mula muncul.
Jika wujud unsur jenayah, mereka yang bertanggungjawab mesti didakwa. Jika masalahnya ialah kecuaian, kelemahan penilaian atau kegagalan pemantauan, pihak yang membuat keputusan tetap perlu dipertanggungjawabkan mengikut tahap kesalahannya. Wang KWAP bukan modal percubaan tanpa pemilik. Ia ialah dana awam yang membantu kerajaan memenuhi tanggungjawab pencen kepada penjawat awam.
Ukuran kejayaan siasatan bukan sekadar jumlah dokumen yang disita atau saksi yang dipanggil. Ukurannya ialah berapa banyak wang dapat dipulihkan, siapa yang dipertanggungjawabkan dan sama ada sistem yang gagal benar-benar diperbaiki.
Kerugian bukan bukti automatik berlakunya “sakau”. Namun perkataan due diligence juga bukan sijil pelepasan daripada akauntabiliti.
Jika Tabung Haji dituntut menjawab setiap sen yang terjejas, KWAP juga tidak boleh menerima layanan yang lebih lunak. Dana awam tetap dana awam, tidak kira institusi mana yang menguruskannya atau kerajaan mana yang berkuasa ketika keputusan dibuat.

