Malaysia Hot

Nilai Seorang Penjawat Awam Bukan Pada Seberapa Cepat Mengangguk


Ada masanya kita perlu kembali mengingati apakah sebenarnya makna menjadi seorang penjawat awam.

Menurut mantan Ketua Unit Komunikasi Korporat Jabatan Perdana Menteri, Raziz Rashid, persoalan ini menjadi lebih penting khususnya kepada mereka yang telah melalui sebuah sistem perkhidmatan yang sejak awal melatih dan mendidik bahawa setiap keputusan mesti mempunyai lawful authority, manakala setiap tindakan pula mesti mampu dipertahankan berasaskan Perlembagaan, undang-undang, peraturan dan pekeliling.

Kesetiaan kepada Government of the Day atau GoTD tidak pernah bermaksud kesetiaan mutlak kepada individu yang sedang memegang kuasa.

Kesetiaan itu sebenarnya adalah kepada rakyat yang telah meletakkan kepercayaan kepada mereka yang diberikan mandat dan kuasa untuk mentadbir.

Atas sebab itu, menjalankan amanah sebagai penjawat awam sama sekali tidak bermaksud setiap arahan perlu disambut dengan ungkapan “yes, sir” sebelum sempat dikemukakan beberapa persoalan yang jauh lebih penting.

Apakah asas kuasanya?

Apakah proses yang ditetapkan telah dipatuhi?

Apakah kesannya terhadap kepentingan negara?

Lebih penting, apakah keputusan yang dibuat hari ini masih boleh dipertahankan lima atau sepuluh tahun akan datang apabila orang lain membuka semula fail, membaca minit mesyuarat dan meneliti siapa yang memberikan nasihat ketika keputusan tersebut dibuat?

Mereka yang telah lama berada dalam perkhidmatan awam tentu masih mengingati suatu zaman apabila nama seperti Ahmad Sarji, Samsudin Osman, Sidek Hassan dan Ismail Adam membawa satu kewibawaan tersendiri.

Malah, dalam kalangan ahli politik sendiri timbul rasa hormat dan gerun apabila berurusan dengan tokoh-tokoh perkhidmatan awam seperti ini.

Pegawai kanan kerajaan dilantik, dipercayai dan diberikan kuasa bukan semata-mata untuk mencari jalan melaksanakan apa sahaja yang dikehendaki oleh kepimpinan politik.

Ada waktunya tugas seorang pegawai ialah mengatakan, “Ini boleh dilaksanakan, tetapi begini caranya.”

Ada waktunya pula mereka perlu mengatakan, “Ini tidak boleh dilakukan dalam kerangka yang sedia ada.”

Dan akan tiba satu ketika apabila seseorang pegawai perlu memiliki keberanian profesional untuk berkata, “Ini tidak betul. Saya tidak boleh menasihatkan Kerajaan supaya berbuat demikian.”

Di situlah sebenarnya letaknya nilai sebuah Perkhidmatan Awam yang profesional.

Jika segala-galanya hanya memerlukan seseorang untuk mengangguk, Kerajaan tidak memerlukan pegawai-pegawai terbaik yang telah melalui puluhan tahun latihan, pengalaman, penempatan serta proses pemilihan sebelum sampai ke puncak perkhidmatan.

Your value is your judgement.

Your value is your institutional memory.

Your value is your ability to tell the political master what he or she NEEDS to hear, not merely what he or she WANTS to hear.

Seorang Menteri mempunyai mandat politiknya.

Seorang penjawat awam pula memikul amanah yang berbeza.

Kerajaan boleh bertukar.

Namun fail masih ada.

Perbendaharaan masih ada.

Peraturan masih ada.

Perlembagaan masih ada.

Institusi masih ada.

“Buku hijau” masih ada.

Dan nama pegawai yang membuat keputusan, memberikan pandangan, menyediakan minit, memperakukan sesuatu tindakan ataupun memilih untuk berdiam diri juga akan kekal dalam rekod.

Sebab itulah integriti Perkhidmatan Awam jauh lebih besar daripada keselesaan politik pada sesuatu ketika.

Tidak salah menyokong dan melaksanakan dasar Kerajaan semasa. Malah, apabila sesuatu keputusan dibuat secara sah, melaksanakannya dengan baik sememangnya menjadi sebahagian daripada tanggungjawab perkhidmatan awam.

Namun faithful implementation must never replace fearless professional advice.

Sebelum sesuatu keputusan dibuat, nasihat yang sebenar mesti diberikan.

Jangan backdated surat dan memo.

Jangan mereka minit mesyuarat semata-mata untuk mengesahkan tindakan yang telah pun diambil.

Jangan menafsir segala macam klausa dalam peraturan, pekeliling dan undang-undang hanya untuk menghasilkan justifikasi kepada sesuatu tindakan yang sememangnya diketahui salah.

Lebih besar daripada itu, jangan sekali-kali membiarkan kepentingan sementara menyebabkan sesebuah institusi melakukan sesuatu yang pegawainya sendiri mengetahui amat sukar untuk dipertahankan.

Ramai sedang memerhati.

Lebih penting, mereka yang berada beberapa lapisan di bawah juga sedang memerhati.

Merekalah yang menaip surat.

Merekalah yang bersengkang mata mengkaji peraturan, pekeliling dan undang-undang.

Merekalah yang menyediakan minit dan pandangan untuk pertimbangan pegawai atasan.

Mereka juga melihat bagaimana pegawai paling kanan membuat keputusan dan bagaimana arahan diberikan untuk melaksanakan sesuatu yang pada pandangan profesional mereka sendiri mungkin tidak tertib.

Sebab itu mereka yang berada di atas tidak boleh terlupa bahawa mereka bukan sekadar sedang memegang jawatan.

Mereka sedang membentuk budaya.

Mereka sedang menentukan standard.

Dan mereka sedang mencipta precedent yang suatu hari nanti mungkin dijadikan rujukan oleh generasi selepas mereka.

Jawatan akan bertukar tangan.

Individu akan datang dan pergi.

Suatu hari nanti orang lain pula akan menduduki kerusi yang sama.

Namun fail itu masih akan dibuka.

Minit itu masih akan dibaca.

Surat itu masih akan diperiksa.

Nasihat yang diberikan masih boleh diteliti.

Malah keputusan untuk berdiam diri ketika sesuatu berlaku juga boleh meninggalkan jejaknya dalam rekod institusi.

Pada akhirnya, rekod itulah yang akan menentukan sama ada negara ini pernah mempunyai sebuah Perkhidmatan Awam yang cukup berani untuk memberikan nasihat profesional kepada mereka yang berkuasa, atau sekadar sebuah pentadbiran yang terlalu cekap mencari jalan untuk berkata:

“Baik, YAB. Saya selesaikan.”

Kerana ukuran sebenar seorang penjawat awam bukanlah seberapa cepat dia mampu mengangguk kepada orang yang memegang kuasa.

Ukuran sebenarnya ialah sama ada ketika negara dan institusi memerlukannya, dia masih mempunyai ilmu, prinsip dan keberanian profesional untuk mengatakan apa yang perlu didengar, walaupun itulah perkara yang paling tidak mahu didengar oleh mereka yang sedang berkuasa.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال