Malaysia Hot

UiTM Rugi RM157 Juta Bermula 2007



KUALA LUMPUR — Kerugian kira-kira RM157 juta yang dikaitkan dengan UiTM Holdings Group bukan kerugian baharu di bawah kepimpinan semasa, sebaliknya merupakan isu terdahulu yang kini sedang ditangani melalui proses pemulihan dan pengukuhan tadbir urus.

Pengerusi UiTM Holdings Sdn Bhd, Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata beliau mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung kedudukan kewangan kumpulan itu dan menghargai keprihatinan serta ketegasan yang ditunjukkan terhadap perkara berkenaan.

Menurutnya, perhatian tersebut wajar dijadikan momentum untuk mempercepatkan usaha membina semula UiTM Holdings. Pada masa sama, fakta mengenai kerugian berkenaan perlu diletakkan dalam garis masa yang tepat supaya masyarakat dapat membezakan antara masalah yang diwarisi dengan prestasi kepimpinan semasa.

“Kerugian yang diperkatakan bukan kerugian baharu di bawah kepimpinan semasa. Angka sekitar RM157 juta telah dilaporkan sejak 2023 dan Kementerian Pendidikan Tinggi ketika itu menjelaskan bahawa ia merupakan kerugian terkumpul daripada tempoh terdahulu,” katanya.

Isu tersebut turut melalui penelitian menerusi Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2022 dan prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara sebelum laporan PAC dibentangkan pada 2024.

Bagi Dr Fathul Bari, kronologi itu penting kerana kepimpinan yang mengambil alih hari ini perlu dinilai berdasarkan bagaimana mereka mengurus dan menyelesaikan masalah yang diwarisi, bukan semata-mata berdasarkan angka kerugian yang tercatat sebelum mereka diberikan amanah.

Dato’ Mohd Shukrie Mohd Salleh mula menerajui pengurusan UiTM Holdings pada Januari 2025 dengan pengalaman luas dalam dunia korporat termasuk pernah menerajui Malaysia Airports Holdings Berhad dan KPJ Healthcare serta memegang beberapa kedudukan penting dalam organisasi korporat utama.

Dr Fathul Bari pula mengambil amanah sebagai Pengerusi UiTM Holdings pada Ogos 2025. Sejak itu, Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan membawa mandat yang jelas untuk memulihkan prestasi, memperkukuhkan tadbir urus, membina semula keyakinan pihak berkepentingan serta meletakkan UiTM Holdings kembali pada landasan pertumbuhan yang mampan.

“Kami tidak menggunakan ‘legacy issues’ sebagai alasan. Kami mengenal pasti legasi tersebut untuk menyelesaikannya.”

Menurut beliau, kepimpinan baharu tidak boleh sekadar menjelaskan bagaimana sesuatu masalah berlaku. Tanggungjawab yang lebih besar ialah memastikan kelemahan yang diwarisi ditangani melalui keputusan yang tepat, pelaksanaan yang berdisiplin dan akauntabiliti yang jelas.

Dr Fathul Bari mengakui bahawa prestasi dan kelemahan terdahulu telah menjejaskan keyakinan terhadap UiTM Holdings. Namun, “trust deficit” tersebut tidak seharusnya diwariskan tanpa penghujung kepada kepimpinan baharu yang sedang melaksanakan proses pembetulan.

Prestasi kepimpinan semasa sewajarnya dinilai berdasarkan integriti pengurusan, keberkesanan pelaksanaan dan hasil yang berjaya dicapai sepanjang tempoh amanah diberikan. Ukuran yang lebih adil bukan sekadar melihat sebesar mana masalah yang diwarisi, tetapi sejauh mana masalah tersebut berjaya ditangani dan diperbetulkan.

Pada masa sama, beliau berharap isu berkenaan tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak daripada mana-mana parti kerana persoalan utama yang perlu diberikan perhatian ialah proses pemulihan sebuah aset korporat yang dimiliki oleh universiti awam.

Kedudukan UiTM Holdings mempunyai hubungan langsung dengan kepentingan UiTM. Jika Holdings berkembang dan mencipta nilai, manfaatnya boleh kembali kepada universiti. Jika prestasinya terus lemah, universiti juga akan menerima kesannya.

Atas asas itu, usaha pemulihan perlu diberikan ruang untuk dilaksanakan berasaskan disiplin korporat, profesionalisme dan tadbir urus yang kukuh.

Dalam proses berkenaan, Dr Fathul Bari turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Kamil serta anggota LPU yang terus memberikan pandangan dan dukungan kepada usaha pemulihan UiTM Holdings.

Namun, kejayaan usaha tersebut tidak boleh bergantung kepada LPU sahaja. Pemulihan memerlukan tiga komponen bergerak dalam satu arah iaitu LPU yang memberikan hala tuju dan pengawasan, pengurusan universiti yang menterjemahkannya kepada keputusan serta tindakan, dan UiTM Holdings yang melaksanakan agenda perniagaan dan pemulihan secara profesional serta berakauntabiliti.

“UiTM Holdings adalah sebahagian daripada UiTM.”

Prinsip itu, katanya, perlu difahami oleh keseluruhan warga universiti kerana Holdings tidak boleh dilihat sebagai sebuah entiti yang terpisah daripada UiTM. Apa yang berlaku kepada syarikat tersebut akhirnya memberikan kesan kepada universiti.

Hubungan antara LPU, pengurusan universiti dan UiTM Holdings justeru perlu dibina berasaskan kepercayaan, kesepaduan dan matlamat bersama supaya keseluruhan ekosistem dapat bergerak dalam arah yang sama.

Menurut Dr Fathul Bari, perbincangan mengenai UiTM Holdings juga perlu dilihat dalam konteks lebih besar membabitkan peranan syarikat pegangan universiti awam di seluruh negara.

Beliau menghargai pendekatan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir yang mengadakan pertemuan, perbincangan serta sesi pemukiman bersama pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pegangan universiti bagi memperkukuhkan semula ekosistem berkenaan.

Syarikat pegangan universiti, menurut beliau, perlu dilihat sebagai instrumen strategik yang mampu membina nilai ekonomi dan seterusnya membantu mengukuhkan kedudukan universiti masing-masing.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan satu kerangka nasional yang memberikan syarikat pegangan dan anak syarikat universiti peluang lebih tersusun untuk mengambil bahagian dalam aktiviti ekonomi di dalam ekosistem institusi masing-masing.

Antara mekanisme yang dicadangkan ialah “First Right of Refusal” atau FROR bagi peluang perniagaan yang bersesuaian, tertakluk sepenuhnya kepada merit, usaha wajar, daya saing dan piawaian tadbir urus yang ketat.

Cadangan tersebut bukan bermaksud pemberian projek secara percuma atau mewujudkan monopoli. Sebaliknya, syarikat universiti yang mempunyai keupayaan seharusnya diberikan peluang pertama untuk mengemukakan tawaran sebelum dinilai secara profesional berdasarkan kemampuan, harga, kualiti dan keupayaan pelaksanaan.

Sekiranya mereka mampu memberikan perkhidmatan secara kompetitif, terdapat rasional strategik untuk memastikan sebahagian nilai ekonomi yang dijana terus beredar dalam ekosistem universiti.

Keuntungan yang dihasilkan oleh anak syarikat universiti akhirnya boleh digunakan untuk membantu memperkukuhkan institusi pendidikan berkenaan, sekali gus memastikan nilai yang dibina dalam ekosistem universiti dapat kembali memberikan manfaat kepada universiti itu sendiri.

Bagi UiTM Holdings, Dr Fathul Bari berkata pelan dan cadangan pemulihan telah beberapa kali dibentangkan menerusi saluran tadbir urus termasuk kepada Lembaga Pengarah Universiti.

Keutamaan sekarang ialah memastikan wujud keselarasan antara semua pihak supaya keputusan dapat dibuat dan dilaksanakan secara konsisten di seluruh ekosistem UiTM.

“Kami masuk untuk bekerja, bukan untuk mempertahankan masa lalu.”

Pendekatan kepimpinan semasa, katanya, adalah untuk mengambil pengajaran daripada apa yang telah berlaku, memperbetulkan kelemahan, memperkukuhkan perkara yang masih rapuh dan membangunkan potensi yang ada.

Yang lama dijadikan pengajaran. Yang salah diperbetulkan. Yang lemah diperkuatkan. Yang berpotensi dibangunkan.

Dr Fathul Bari berkata beliau akan memperincikan dalam siri seterusnya mengenai tindakan yang telah dilaksanakan, inisiatif yang sedang berjalan serta hala tuju UiTM Holdings selepas ini.

Kepimpinan semasa, katanya, tidak meminta untuk terlepas daripada penilaian. Sebaliknya, mereka bersedia dinilai berdasarkan apa yang dilakukan terhadap masalah yang diwarisi serta hasil yang berjaya ditinggalkan.

“Nilailah kepimpinan semasa berdasarkan apa yang kami lakukan terhadap masalah yang diwarisi dan hasil yang kami tinggalkan.”

Kerugian itu legasi. Pemulihannya adalah amanah. Hasilnya kelak menjadi ukuran.


Previous Post Next Post

نموذج الاتصال