Malaysia Hot

Proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sah, berkuat kuasa – Kerajaan Negeri Sembilan


Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan yang bersidang pada Selasa, 15 September 2026 dan dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Ismail Bin Lasim, telah mencapai keputusan kolektif berhubung kedudukan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Kenyataan media YAB Menteri Besar sebelum ini telah menjelaskan fungsi dan peranan Menteri Besar, Kerajaan Negeri, Institusi Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat serta kedudukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan dengan ini memaklumkan keputusan berikut:

1. Proklamasi penurunan takhta

Proklamasi penurunan takhta DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir menurut Perkara 10 UUTKNS 1959 bertarikh 19 April 2026 telah ditandatangani dan dicop mohor oleh YTM Undang Luak yang sah dan berkuat kuasa.

Majlis mengiktiraf bahawa prerogatif memilih dan menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah pada YTM Undang Yang Empat sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 32 dan Perkara 79 UUTKNS 1959 serta Perkara 71 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.

Proklamasi tersebut turut ditandatangani oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Ismail Bin Lasim pada 3 Ogos 2026, sekali gus menjadikan proklamasi tersebut sempurna menurut Perkara 10(2) UUTKNS 1959.

2. Proklamasi pemilihan Yang di-Pertuan Besar

Proklamasi pemilihan DYMM Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar menurut Perkara 11 UUTKNS 1959 bertarikh 19 April 2026 juga telah ditandatangani dan dicop mohor oleh YTM Undang Luak yang sah dan berkuat kuasa.

Majlis dengan itu mengambil ketetapan bahawa proklamasi tersebut adalah teratur dan sempurna menurut UUTKNS 1959.

3. Pengiktirafan keputusan YTM Undang Yang Empat

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri menjunjung tinggi ketetapan YTM Undang Yang Empat dan menghormati prerogatif kuasa YTM Undang Yang Empat sebagaimana termaktub dalam adat serta UUTKNS 1959.

Sehubungan itu, bagi melaksanakan sabda dan ketetapan YTM Undang Yang Empat berdasarkan proklamasi di bawah Perkara 10 dan Perkara 11 UUTKNS 1959 bertarikh 19 April 2026, Majlis dengan ini mengumumkan bahawa:

DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir telah diturunkan takhta Kerajaan Negeri Sembilan oleh YTM Undang Yang Empat.

DYMM Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar telah dipilih dan diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu, berkuat kuasa serta-merta.

4. Arahan kepada Pentadbiran Kerajaan Negeri

Pentadbiran Kerajaan Negeri hendaklah mengambil langkah serta-merta untuk melaksanakan pengumuman ini bagi mematuhi sabda dan ketetapan YTM Undang Yang Empat.




Previous Post Next Post

نموذج الاتصال