Kes saman sivil Muhammed Yusoff Rawther terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memasuki satu lagi fasa selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Anwar supaya lima isu awal diputuskan terlebih dahulu sebelum perbicaraan penuh diteruskan. Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan pada 30 September 2026.
Perkembangan ini mungkin mengundang naratif politik bahawa Anwar cuba mengelakkan perbicaraan penuh atau “tidak berani” berdepan Yusoff.
Walaupun dari sudut undang-undang, keputusan mahkamah setakat ini tidak membuat sebarang dapatan bahawa Anwar cuba mengelakkan perbicaraan, malah mahkamah juga belum menentukan sama ada dakwaan yang menjadi asas saman itu benar atau sebaliknya, persepsi dari rakyat adalah pelbagai permohonan prosedural yang dikemukakan pihak Anwar berpotensi memanjangkan perjalanan kes tersebut.
Gambaran itu menjadi semakin ketara kerana kes berkenaan melibatkan dakwaan serangan seksual yang serius, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat sama ada pertikaian itu akan segera sampai kepada perbicaraan substantif atau terus tertumpu kepada isu-isu prosedur terlebih dahulu.
Permohonan berkenaan difailkan Anwar pada 31 Mac lalu. Hujah pihak Anwar ialah sekiranya isu-isu awal berkenaan dapat diputuskan terlebih dahulu, ia mungkin menyelesaikan keseluruhan saman tanpa memerlukan perbicaraan penuh, sekali gus menjimatkan masa dan kos mahkamah. Pihak Yusoff sebelum ini membantah permohonan tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah yang boleh melengahkan perbicaraan.
Rakyat yang mengikuti perkembangan kes ini dari sudut lojik akal dan fakta bahawa saman sivil Muhammed Yusoff Rawther terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim telah difailkan sejak 14 Julai 2021. Sehingga 1 Oktober 2026, kes tersebut sudah berada dalam proses mahkamah selama kira-kira lima tahun dua bulan, namun perbicaraan penuh mengenai dakwaan utama masih belum diselesaikan.
Malah, perbicaraan penuh sebelum ini telah ditetapkan untuk bermula pada 16 Jun 2025. Bagaimanapun, pada 10 Jun 2025, Mahkamah Rayuan memberikan penangguhan interim sebelum penangguhan penuh diberikan pada 21 Julai 2025, sementara isu berkaitan permohonan Anwar untuk merujuk persoalan mengenai kekebalan Perdana Menteri diselesaikan. Jika dikira daripada tarikh asal perbicaraan penuh sepatutnya bermula, tempoh penangguhan itu kini sudah melebihi 15 bulan.
Perkembangan seterusnya berlaku pada 4 Mac 2026, apabila Anwar menarik balik rayuannya berhubung lapan persoalan Perlembagaan berkaitan isu kekebalan Perdana Menteri dan diperintahkan membayar kos RM50,000 kepada Yusoff. Selepas itu, kes memasuki satu lagi proses apabila Anwar memohon supaya lima isu awal diputuskan terlebih dahulu sebelum perbicaraan penuh diteruskan. Permohonan tersebut kemudiannya dibenarkan Mahkamah Tinggi pada 30 September 2026.
Di sinilah timbul tanda tanya di kalangan rakyat tentang kes tersebut. Jika alasan yang dikemukakan ialah untuk menjimatkan masa mahkamah, bagaimana hujah itu mahu dilihat dalam konteks sebuah saman yang sudah berusia lebih lima tahun, sedangkan perbicaraan penuh yang sepatutnya bermula pada Jun 2025 masih belum berlangsung sehingga hari ini?
Lebih ketara apabila dilihat daripada tarikh kejadian yang didakwa berlaku. Insiden yang menjadi asas saman tersebut didakwa berlaku pada 2 Oktober 2018, iaitu hampir lapan tahun lalu. Dengan tempoh yang begitu panjang, tumpuan masyarakat bukan sahaja kepada keputusan akhirnya tetapi juga kepada persoalan bila dakwaan substantif yang menjadi teras saman ini benar-benar akan diuji sepenuhnya melalui perbicaraan.
Malah, permintaan Anwar sebelum ini turut memohon pilihan agar isu berkenaan diputuskan melalui prosiding tertutup tanpa kehadiran media makin menguatkan persepsi bahawa Anwar “tidaklah seberani mana”.
Akhirnya mahkamah memutuskan prosiding isu awal boleh dijalankan melalui Zoom dan mencadangkan supaya media dibenarkan mengikuti serta melaporkan prosiding tersebut atas prinsip keadilan terbuka.
Yusoff memfailkan saman itu pada Julai 2021 berhubung dakwaan insiden di kediaman Anwar pada 2 Oktober 2018. Beliau menuntut antaranya ganti rugi am, khas, teruk dan teladan.
Nampaknya kes ini dengan itu masih jauh daripada kesudahannya. Keputusan mengenai lima isu awal tersebut akan menentukan sama ada saman itu berakhir lebih awal ataupun bergerak kepada perbicaraan substantif mengenai dakwaan yang menjadi pertikaian sejak beberapa tahun lalu.
Ada juga pemerhati politik yang melihat perkembangan ini dari sudut yang lebih luas. Pada pandangan mereka, ruang untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada kes Yusoff Rawther semakin sukar, walaupun Anwar menyentuh isu krisis Negeri Sembilan, RCI Tabung Haji dan terkini berkaitan UiTM.
Pilihanraya Negeri Melaka bakal menyaksikan Anwar dan Pakatan Harapan bakal dihukum sekali lagi selepas Sabah, Johor dan Negeri Sembilan. Semuanya kerana Anwar terlalu banyak berpolitik dari membuktikan dirinya layak bergelar Perdana Menteri kepada seluruh rakyat negara ini, kata pemerhati politik.
Siri III Baca di SINI

