Malaysia Hot

Azalina: Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Diminta Beri Penjelasan Mengenai Sistem eJamin


KUALA LUMPUR, 7 Oktober — Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) telah diminta memberikan penjelasan rasmi berhubung laporan dan teguran Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai pengurusan sistem eJamin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato' Sri Azalina Othman Said berkata, operasi dan tadbir urus sistem berkenaan terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa badan kehakiman, khususnya PKPMP.

“Saya melihat perkara yang dibangkitkan oleh PAC sebagai satu teguran yang perlu dijawab oleh Ketua Pendaftar (PKPMP), dan kita telah memaklumkan perkara ini kepada Ketua Pendaftar... mungkin pejabat beliau akan mengeluarkan kenyataan,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, Rabu.

Sebelum ini, PAC melaporkan bahawa sistem eJamin, iaitu perkhidmatan pembayaran wang jaminan mahkamah di bawah seliaan PKPMP, telah beroperasi selama lima tahun sejak 2020 tanpa sebarang kontrak rasmi dengan Kerajaan Persekutuan.

Sistem yang dikendalikan oleh Dapat Vista Sdn Bhd itu didapati beroperasi tanpa surat pelantikan, Surat Setuju Terima (SST), Surat Niat (LOI) atau sebarang perjanjian kontrak rasmi dengan kerajaan.

Menurut PAC, daripada baki deposit wang jaminan berjumlah RM193.71 juta yang direkodkan dalam akaun setakat 31 Disember 2024, Dapat Vista didapati telah melaburkan RM130.8 juta daripada jumlah tersebut atas nama syarikat berkenaan.

Pelaburan itu dilaporkan menjana pendapatan faedah antara RM4 juta hingga RM5 juta setahun.


Previous Post Next Post

نموذج الاتصال