Malaysia Hot

'Stop Payment' RM231 Juta: Anthony Loke Buat 'Kesalahan Serius'?


Kutip wang rakyat hari ini, serahkan kepada kerajaan selewat-lewatnya pada hari bekerja berikutnya. Itulah kewajipan yang ditetapkan dalam perjanjian antara Kementerian Pengangkutan dengan syarikat yang dilantik sebagai ejen kutipan hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Setiap ringgit yang dipungut bagi pihak kerajaan wajib diserahkan mengikut tempoh yang dipersetujui, bukannya ditahan atau dilewatkan pembayarannya sesuka hati.

Malangnya, dalam kes MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Berhad, kewajipan sehari itu akhirnya menyaksikan tunggakan mencecah RM314 juta. Lebih mengejutkan, cek RM231 juta yang diserahkan untuk menyelesaikan sebahagian tunggakan gagal ditunaikan selepas bank menerima arahan menghentikan pembayaran daripada pihak syarikat sendiri.

Pendedahan yang dibuat sendiri oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada 5 Oktober 2026, memperlihatkan bahawa isu ini bukan lagi sekadar kelewatan pembayaran biasa, sebaliknya membangkitkan kesalahan yang serius mengenai pematuhan perjanjian, pengurusan hasil kerajaan serta tanggungjawab pihak yang diamanahkan mengendalikan wang rakyat.

Jika cek telah dikeluarkan dan diserahkan kepada kerajaan sebagai penyelesaian hutang, mengapa pembayaran kemudiannya dihentikan? Lebih penting, apakah perbezaan antara cek yang lazim disebut sebagai 'cek tendang' dengan arahan stop payment dan sejauh manakah undang-undang melindungi kepentingan kerajaan sebagai penerima wang tersebut?

Menurut penjelasan kementerian, tunggakan RM314 juta terkumpul antara 19 Mei hingga 30 September 2026. Sepanjang tempoh itu, sebanyak 35 notis peringatan dikeluarkan dan empat sesi libat urus diadakan. Pada 21 Ogos, syarikat berkenaan menyerahkan cek RM231 juta bertarikh 30 September. Bagaimanapun, apabila cek dikemukakan pada tarikh tersebut, bank tidak memproses pembayaran atas arahan syarikat. Perkhidmatan kedua-dua entiti sebagai ejen kutipan JPJ akhirnya digantung berkuat kuasa 5 Oktober.

Jika diteliti dari sudut tanggungjawab pentadbiran, ‘kesalahan’ serius yang perlu dijelaskan oleh Anthony Loke selaku Menteri Pengangkutan ialah kegagalan mengambil tindakan lebih awal terhadap syarikat yang dilaporkan berulang kali tidak mematuhi syarat perjanjian, khususnya kewajipan menyerahkan hasil kutipan kerajaan dalam tempoh ditetapkan.

Lebih membimbangkan, syarikat berkenaan dilaporkan terus dibenarkan mengutip hasil JPJ walaupun tempoh kontrak asalnya telah berakhir. Sekiranya tiada lanjutan kontrak atau kelulusan sah yang membenarkan kutipan diteruskan, keadaan ini bukan lagi sekadar kelemahan penguatkuasaan perjanjian tetapi turut menuntut penjelasan serius mengenai keputusan kementerian, asas kuasa yang digunakan serta tanggungjawab pihak yang membenarkan pengurusan wang rakyat diteruskan dalam keadaan sedemikian.

Dari sudut perundangan, 'cek tendang' merupakan istilah umum yang sering dikaitkan dengan kegagalan menunaikan cek akibat dana tidak mencukupi.

Arahan stop payment pula berlaku apabila pengeluar cek meminta bank menghentikan pembayaran. Kedua-duanya boleh menyebabkan cek tidak dibayar tetapi punca dan implikasi undang-undangnya tidak semestinya sama.

Dalam kes RM231 juta ini, penjelasan rasmi merujuk kepada arahan menghentikan pembayaran, bukannya pengesahan bahawa akaun bank kekurangan dana.

Seksyen 75 Akta Bil Pertukaran 1949 (Akta 204) memperuntukkan bahawa kuasa dan kewajipan bank untuk membayar cek boleh ditamatkan melalui arahan menghentikan pembayaran daripada pelanggan. Ertinya, stop payment bukan dengan sendirinya suatu kesalahan jenayah. Namun, kuasa mengarahkan bank tidak membayar cek tidak bermakna pengeluar cek terlepas daripada tanggungjawab kewangan kepada penerimanya.

Seksyen 47 akta sama menyentuh keadaan sesuatu instrumen dianggap tidak dibayar atau dishonoured by non-payment. Seksyen 55 pula memperuntukkan tanggungjawab pengeluar apabila instrumen gagal dibayar, manakala Seksyen 57 membolehkan tuntutan terhadap pihak yang bertanggungjawab, termasuk jumlah cek, faedah dan perbelanjaan tertentu, tertakluk kepada syarat undang-undang. Dengan demikian, arahan menghentikan pembayaran tidak semestinya menghapuskan hak kerajaan untuk menuntut wang yang masih terhutang.

Namun, isu ini lebih serius kerana RM314 juta tersebut merupakan wang hasil kutipan kerajaan, bukannya urusan perniagaan biasa antara syarikat swasta. Wang yang dikutip bagi pihak JPJ wajib diserahkan kepada kerajaan mengikut perjanjian. Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja boleh melanggar syarat kontrak, malah boleh membawa implikasi undang-undang sekiranya terdapat unsur pecah amanah.

Seksyen 405 Kanun Keseksaan (Akta 574) mentakrifkan pecah amanah jenayah, termasuk penyalahgunaan harta yang diamanahkan secara tidak jujur. Lebih menarik, ilustrasi (e) kepada seksyen berkenaan secara khusus merujuk kepada pemungut wang kerajaan yang terikat menyerahkan hasil kepada perbendaharaan tetapi secara tidak jujur mengambil wang tersebut. Seksyen 409 pula memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda bagi kesalahan pecah amanah yang dilakukan dalam kapasiti tertentu, termasuk sebagai ejen.

Pada 7 Oktober, Zetrix AI mengesahkan kepada Bursa Malaysia bahawa tunggakan RM314 juta telah diiktiraf sebagai liabiliti dalam penyata kewangannya.

Pengesahan itu menjelaskan kewujudan tanggungan kewangan tetapi tidak bermakna wang berkenaan telah diserahkan.

Di sinilah tanggungjawab pengawasan kerajaan perlu diperhalusi. Mengapa pembayaran melalui cek bertarikh kemudian diterima sedangkan kutipan wajib dipindahkan dalam tempoh satu hari bekerja?

Selepas 35 peringatan dan empat sesi libat urus, apakah langkah perlindungan kewangan yang telah dilaksanakan?

Adakah kerajaan mempunyai jaminan bank, bon pelaksanaan atau cagaran yang boleh dikuatkuasakan sekiranya ejen gagal menyerahkan kutipan?

Status kontrak turut memerlukan penjelasan. Pelantikan tiga tahun yang dilaporkan bermula pada Mei 2023 menuntut pengesahan mengenai asas perkhidmatan yang diteruskan selepas tempoh tersebut.

Sebarang lanjutan atau pembaharuan wajar diperiksa bersama syarat pemindahan kutipan, had tunggakan dan tanggungjawab pihak yang meluluskan pengaturan pembayaran.

Salinan cek, arahan bertulis kepada bank, rekod akaun dan dokumen kontrak perlu diperiksa bagi menentukan sama ada kejadian tersebut berpunca daripada pertikaian komersial, kegagalan memenuhi kewajipan pembayaran atau perlakuan yang mempunyai unsur jenayah. Siasatan yang menyeluruh juga perlu menjelaskan bagaimana tunggakan sebesar itu boleh terkumpul walaupun mekanisme pemindahan hasil secara harian telah ditetapkan.

Arahan stop payment bukan lesen untuk mengabaikan kewajipan pembayaran yang sah, lebih-lebih lagi apabila melibatkan wang kutipan kerajaan.

Pembayaran cek RM231 juta mungkin boleh dihentikan melalui arahan kepada bank tetapi kewajipan menyerahkan RM314 juta hasil kerajaan tetap tidak terhapus.

Ini bukan sekadar soal cek yang tidak dibayar tetapi soal amanah dan tanggungjawab melindungi setiap ringgit wang rakyat.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال