Malaysia Hot

PTPTN: 'Tangguh Bayaran', 'Tidak Perlu Bayar' Sudah Lama Dilaksana Oleh Kerajaan BN




Kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim bahawa penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Belanjawan 2027 dapat membantu graduan memperkukuh kedudukan kewangan pada peringkat awal kerjaya perlu dilihat dalam konteks sejarah sebenar dasar pembiayaan pendidikan negara. Hakikatnya, kemudahan menangguhkan bayaran balik dan pengecualian sepenuhnya bagi peminjam tertentu bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah dilaksanakan sejak era pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Adam Adli pada 9 Oktober lalu menjelaskan bahawa pendekatan pembayaran balik berdasarkan kemampuan dan pendapatan graduan merupakan langkah yang dapat memberikan kelegaan kewangan kepada golongan muda yang baru memasuki alam pekerjaan.

Belanjawan 2027 memperuntukkan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan, manakala mereka yang memperoleh antara RM2,500 hingga RM3,000 dikenakan bayaran minimum RM50 sebulan. Inisiatif itu dijangka memanfaatkan lebih 400,000 peminjam, selain menawarkan diskaun 10 peratus kepada peminjam tanpa tunggakan yang membuat pembayaran secara teratur.

Langkah tersebut sememangnya memberi manfaat kepada graduan berpendapatan rendah. Adam Adli lupa satu pekara iaitu mengenai keaslian dasar yang perlu dijawab berdasarkan rekod, bukannya sekadar pengumuman dalam belanjawan semasa.

Dokumen rasmi INFO PTPTN Edisi 2011 membuktikan bahawa kerajaan BN sudah menyediakan kemudahan penangguhan bayaran balik sehingga 24 bulan kepada peminjam yang menamatkan pengajian tetapi masih belum bekerja atau tidak mempunyai pendapatan.

Di bawah peraturan tersebut, peminjam boleh mengemukakan permohonan rasmi berserta dokumen pengesahan status pekerjaan. Mereka yang menyambung pengajian secara sepenuh masa juga diberikan kemudahan penangguhan sepanjang tempoh pengajian baharu yang dibenarkan.

Malah, dokumen yang sama menetapkan bahawa bayaran balik secara umumnya hanya bermula enam bulan selepas tamat pengajian. Ini bermakna ruang untuk graduan mendapatkan pekerjaan dan menyesuaikan kedudukan kewangan sebelum memulakan pembayaran telah lama menjadi sebahagian daripada mekanisme PTPTN.

Lebih penting, kerajaan BN bukan sekadar menyediakan kemudahan menangguhkan pembayaran, malah memperkenalkan pengecualian bayaran balik kepada graduan yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama.

Menurut pengesahan rasmi PTPTN, insentif pengecualian itu telah dilaksanakan sejak tahun 2001. Dasar tersebut turut diperincikan dalam peraturan yang membolehkan graduan kelas pertama yang memenuhi syarat kelayakan mendapat pengecualian, termasuk mereka yang menamatkan pengajian mulai 1 Januari 2010.

Perbezaannya jelas adalah penangguhan hanya menunda kewajipan membayar hutang, sedangkan pengecualian membebaskan peminjam yang layak daripada kewajipan membayar balik pinjaman berkenaan.

Keberkesanan dasar pengecualian ini bukan sekadar tercatat dalam dokumen kerajaan. Pada 24 April 2018, PTPTN mengesahkan bahawa sehingga Mac tahun berkenaan, seramai 50,153 graduan kelas pertama di seluruh negara telah menikmati pengecualian bayaran balik melibatkan nilai keseluruhan RM1.526 bilion.

Angka tersebut membuktikan bahawa puluhan ribu graduan telah menerima manfaat langsung daripada dasar yang dilaksanakan sebelum pertukaran kerajaan pada Mei 2018. Pinjaman pendidikan mereka yang layak ditukar kepada bentuk pembiayaan yang tidak perlu dibayar balik.

Selain penangguhan dan pengecualian, kerajaan BN turut memperkenalkan insentif pengurangan hutang menerusi Belanjawan 2013.

Ketika itu, peminjam yang menyelesaikan keseluruhan baki pinjaman antara 1 Oktober 2012 hingga 30 September 2013 diberikan diskaun 20 peratus, manakala diskaun 10 peratus ditawarkan kepada peminjam yang membayar secara konsisten mengikut syarat ditetapkan.

Rekod PTPTN menunjukkan bahawa antara Oktober 2012 hingga Jun 2013 sahaja, sebanyak 42,133 peminjam menyelesaikan pinjaman masing-masing melalui tawaran diskaun 20 peratus, dengan nilai pengurangan hutang berjumlah RM51.41 juta.

Kerajaan BN juga memperkenalkan pembiayaan Ujrah pada kadar satu peratus setahun mulai 2008 sebagai alternatif kepada struktur kos pentadbiran konvensional terdahulu. Penambahbaikan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha mengurus beban pembiayaan pendidikan dalam jangka panjang.

Adam Adli perlu perjelaskan perbezaan antara kemudahan terdahulu dengan pendekatan Belanjawan 2027. Penangguhan pada era BN khususnya menyediakan ruang kepada graduan belum bekerja, sedangkan langkah terbaharu memperkenalkan kelayakan berasaskan paras pendapatan, termasuk bagi mereka yang sudah mempunyai pekerjaan.

Perbezaan itu membolehkan Belanjawan 2027 dinilai sebagai peluasan perlindungan kepada kumpulan peminjam tertentu, bukannya dianggap sebagai permulaan kepada keseluruhan konsep penangguhan bayaran balik PTPTN.

Sejarah pelaksanaan dasar pendidikan tinggi perlu diberikan pengiktirafan secara adil tanpa mengabaikan sumbangan pentadbiran terdahulu.

Sejak 2001, sudah ada graduan yang layak tidak perlu membayar balik pinjaman PTPTN. Pada 2011, sudah tersedia kemudahan penangguhan sehingga 24 bulan bagi peminjam tidak bekerja. Pada 2013, kerajaan turut memberikan diskaun sehingga 20 peratus bagi penyelesaian penuh pinjaman.

Adakah Adam Adli ingin berpolitik tentang siapa yang pertama kali mengumumkan penangguhan, tetapi pada masa yang sama lupa sejauh mana pendekatan terbaharu mampu memberikan perlindungan lebih menyeluruh kepada graduan tanpa menjejaskan kemampanan dana pendidikan untuk generasi berikutnya.

Belanjawan 2027 boleh dinilai berdasarkan manfaat tambahan yang ditawarkan, namun rekod sejarah tetap menunjukkan bahawa asas penangguhan, pengecualian dan pengurangan bayaran balik PTPTN telah lama dibangunkan sejak di perkenalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Mengiktiraf penambahbaikan hari ini tidak seharusnya melupakan dasar yang telah dilaksanakan semalam. Dalam soal PTPTN, fakta sejarah membuktikan bahawa kerajaan BN telah menyediakan kemudahan 'tangguh bayaran' dan, bagi graduan yang memenuhi syarat tertentu, 'tidak perlu bayar' sejak sekian lama.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال