Malaysia Hot

Anwar Dibebaskan Tanpa Mesyuarat Lembaga Pengampunan?




Daripada sabitan 2015 kepada pengampunan penuh pada 16 Mei 2018, kemudian muncul versi Mahathir pada 2025.

Satu tarikh tidak boleh dipadam daripada sejarah isu ini, iaitu 16 Mei 2018. Pada hari tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima pengampunan penuh dan dibebaskan serta-merta daripada penjara.

Namun, tujuh tahun kemudian, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa tiada mesyuarat Lembaga Pengampunan diadakan. Beliau mendakwa hanya menerima surat untuk ditandatangani.

Di antara keputusan pada 2018 dan dakwaan pada 2025, terdapat satu kronologi yang boleh disemak melalui rekod mahkamah, laporan Istana Negara, kenyataan Pejabat Peguam Negara dan kenyataan Mahathir sendiri.

Sebelum 2018, hubungan itu sudah mempunyai sejarah panjang

Pada 1998, Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri. Beliau kemudiannya dipenjarakan pada 1999 selepas sabitan berkaitan rasuah dan liwat.

Pada 2004, selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan perdana menteri, Anwar dibebaskan dan sabitan liwat pertamanya diketepikan.

Hubungan Mahathir dan Anwar kemudiannya berubah daripada permusuhan kepada kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

10 Februari 2015: Sabitan kedua dikekalkan

Pada 10 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kedua Anwar dalam kes liwat serta hukuman penjara lima tahun.

Selepas keputusan tersebut, Anwar terus menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh. Sabitan dan hukuman itu turut memberi kesan kepada kelayakan beliau sebagai Ahli Parlimen.

24 Februari hingga Mac 2015: Petisyen pengampunan ditolak

Pada 24 Februari 2015, keluarga Anwar mengemukakan petisyen pengampunan diraja di bawah Peraturan 113, Peraturan Penjara 2000.

Petisyen itu kemudiannya ditolak atau dilupuskan oleh Lembaga Pengampunan pada Mac 2015. Akibatnya, Anwar hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Pada ketika itu, Anwar dijadualkan dibebaskan pada 8 Jun 2018 selepas mengambil kira remisi kerana kelakuan baik. Jika pembebasan berlaku melalui jadual biasa, ia bukan pembebasan serta-merta melalui pengampunan penuh.

9 Mei 2018: Perubahan kerajaan membuka episod baharu

Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018. Mahathir kembali menjadi perdana menteri dan proses pengampunan Anwar mula disebut secara terbuka sebagai sebahagian daripada persetujuan politik kerajaan baharu.

Dua hari kemudian, pada 11 Mei 2018, Mahathir mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong bersedia memberikan pengampunan kepada Anwar.

Mahathir menyatakan bahawa pengampunan itu akan menjadi pengampunan penuh dan membolehkan Anwar dibebaskan dengan segera.

Kenyataan itu penting kerana ia dibuat sebelum mesyuarat Lembaga Pengampunan berlangsung. Ia menunjukkan bahawa pengampunan Anwar telah diumumkan sebagai agenda kerajaan, tetapi masih perlu melalui proses perlembagaan.

14 Mei 2018: Mesyuarat ditangguhkan

Pada 14 Mei, mesyuarat Lembaga Pengampunan yang sepatutnya mendengar petisyen Anwar ditangguhkan ke 16 Mei.

Pihak PKR memaklumkan bahawa dokumen berkaitan telah lengkap. Mahathir juga memberi jaminan bahawa mesyuarat tersebut akan diteruskan pada tarikh baharu.

Pada masa yang sama, Anwar masih dijadualkan dibebaskan pada 8 Jun jika tiada keputusan pengampunan penuh.

16 Mei 2018: Mesyuarat dan keputusan pengampunan

Pada 16 Mei 2018, Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-51 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berlangsung di Istana Negara.

Menurut rekod Istana Negara dan penjelasan Pejabat Peguam Negara, mesyuarat itu dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V. Mahathir hadir sebagai perdana menteri.

Lembaga Pengampunan meneliti petisyen Anwar dan memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong supaya pengampunan penuh diberikan. Pandangan bertulis Peguam Negara turut dikemukakan untuk pertimbangan lembaga.

Selepas menerima nasihat tersebut, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pengampunan penuh dan pembebasan serta-merta Anwar. Pembebasan itu berkuat kuasa pada tarikh mesyuarat, iaitu 16 Mei 2018.

Rayuan tersebut dikaitkan dengan dakwaan berlakunya kegagalan keadilan. Sehingga ke hari ini rakyat tidak diperjelaskan apakah maksud ‘kegagalan keadilan” ini.

Selepas keputusan itu, Anwar dibebaskan dari wad pemulihan di Cheras, tempat beliau menerima rawatan ketika itu. Tanpa pengampunan penuh, beliau sepatutnya hanya dibebaskan pada 8 Jun.

Di manakah kedudukan Perkara 42?

Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan.

Lembaga Pengampunan berperanan memberikan nasihat, manakala keputusan akhir diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Perkara 42(9) pula menyatakan bahawa pandangan bertulis Peguam Negara hendaklah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan. Teks rasmi Perlembagaan Persekutuan boleh dirujuk di sini.

Justeru, Mahathir bukan pihak yang mempunyai kuasa peribadi untuk mengampunkan Anwar. Beliau terlibat sebagai perdana menteri dan anggota Lembaga Pengampunan. Paling penting peranan Perdana Menteri bukan ‘mengganggu’ urusan Jemaah Lembaga tersebut.

Perkara 48(1)(e) pula berkait dengan kelayakan menjadi Ahli Parlimen. Seseorang yang disabitkan dan dihukum penjara sekurang-kurangnya setahun boleh hilang kelayakan, melainkan mendapat pengampunan bebas.

Pengampunan bukan keputusan mahkamah baharu

Pengampunan diraja ialah kuasa perlembagaan yang berbeza daripada proses rayuan mahkamah. Ia bukan penghakiman mahkamah baharu.

Dalam keputusan 2023, Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa dokumen pengampunan Anwar tidak menyebut sabitannya diketepikan. Mahkamah juga mengekalkan prinsip bahawa prerogatif pengampunan diraja bukan perkara yang boleh diputuskan oleh mahkamah.

Pada 2025, Pejabat Peguam Negara menjelaskan bahawa pengampunan penuh tersebut memulihkan kelayakan Anwar di bawah Perkara 48(1)(e).

Namun apa yang menarik adalah kenyataan Mahathir selepas pembebasan.

Pada 2020, selepas hubungan politik mereka kembali tegang, Mahathir memberikan kenyataan bahawa beliau memainkan peranan dalam proses pembebasan Anwar.

“Selepas, saya mengaturkan pembebasan beliau dan pengampunan diraja, dia tak nak sokong saya,” kata Mahathir.

Kenyataan ini memberikan gambaran bahawa Mahathir sendiri ketika itu mengaitkan pembebasan dan pengampunan Anwar dengan usaha yang telah beliau aturkan.

2025: Muncul versi yang berbeza

Pada Jun 2025, satu video Mahathir tular. Beliau mendakwa tiada mesyuarat Lembaga Pengampunan diadakan dan beliau hanya diberikan surat yang telah ditandatangani Yang di-Pertuan Agong untuk ditandatangani.

Mahathir turut mendakwa beliau tidak mendapatkan nasihat undang-undang kerana Peguam Negara sedang bercuti, manakala pengganti baharu belum dilantik.

Pejabat Peguam Negara kemudian menafikan dakwaan tersebut. AGC menyatakan bahawa mesyuarat memang berlangsung pada 16 Mei 2018, dipengerusikan oleh Sultan Muhammad V dan dihadiri Mahathir. AGC turut menjelaskan bahawa pandangan bertulis Peguam Negara telah dikemukakan.

Tan Sri Mohamed Apandi Ali pula menyatakan bahawa beliau telah mewakilkan Peguam Cara Negara II untuk menghadiri mesyuarat tersebut.

Selepas penjelasan AGC dikeluarkan, Mahathir menyambut baik kenyataan itu dan berkata penjelasan tersebut membersihkan namanya daripada tuduhan tidak mengikut proses yang betul.

Namun pada Ogos 2025, Mahathir sekali lagi berkata terdapat “some doubts” mengenai pengampunan Anwar yang beliau sendiri tandatangani.

Apa yang rakyat keliru ialah mengapa wujud dua versi tentang proses yang sama, sedangkan tarikh mesyuarat, institusi yang terlibat dan keputusan pengampunan telah direkodkan.

Malah rakyat masih kuat berpegang kepada, “tiada Wilayah dilantik, tiada Peguam Negara dan tiada Jemaah Lembaga ketika itu”. Jadi, bagaimana?
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال