Terbaca komen-komen mereka yang beragama Islam di media sosial bila membuat reaksi tentang penguatkuasa yang alihkan kemeyan di Kampung Orang Asli Bera, saya merasa sungguh kesal dengan penulisan, kenyataan dan cara mereka berfikir yang seolah-olah mengikut ajaran Orang Asli.
Sebagai seorang Islam, kita tidak boleh dan dilarang menulis atau menyebarkan apa jua bentuk penulisan, hantaran, atau karya yang boleh merosakkan, meragukan, atau memesongkan akidah dan tauhid kepada Allah SWT. Penulisan yang seolah-olah mengangkat ajaran dan kepercayaan kemeyan ini akan memesongkan ajaran Islam, menghina kesucian agama, atau mempromosikan kepercayaan sesat dikira haram dan berdosa besar.
Amat kesal bila ada seorang guru Mohd Fadli Salleh menulis dan membuat naik gambar kemeyan orang asli di Bera dan seolah-olah mengiyakan pula apa yang dibuat oleh orang asli tersebut. Tindakan guru yang bernama Mohd Fadli ini bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam.
Ini bukan soal hendak membela siapa, antara orang asli dan penguatkuasa. Ini soal akidah dan tauhid. Tidak boleh membuat tulisan, mengiyakan seolah-olah ritual yang dibuat oleh orang asli tersebut akan berlaku sebagaimana ajaran mereka. Sebagai seorang Islam, lebih-lebih lagi guru Melayu dan Islam tindakan Mohd Fadli menulis sebegitu adalah salah sama sekali.
Bawa bertaubat dan jangan buat lagi perkara sebegitu. Sewajarnya sebagai orang Islam kita mesti teguh dan tetap dengan ajaran Islam, jangan sesekali hanya kerana mengejar views, FYP dan tular maka terjadinya penulisan sebegitu.
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik (mempersekutukan-Nya dengan sesuatu), dan Dia mengampuni dosa yang selain syirik bagi siapa yang dikehendaki-Nya." Surah An-Nisa, Ayat 48
Orang Melayu Islam jangan kita terlibat dengan dosa syirik ini. Moga kita semua dilindungiNya dari dosa-dosa syirik ini.
Pesanan Ikhlas daripada Guru Pondok Temerloh

